KANGAR: Kadar sara diri (SSR) beras negara menunjukkan trend menurun membimbangkan daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 52.9 peratus pada tahun 2024.
Ini sekali gus meningkatkan kebergantungan Malaysia kepada import bagi menampung hampir separuh keperluan beras negara.
Kemerosotan itu berlaku secara konsisten sejak lima tahun lalu, daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 60.9 peratus (2021), 57.9 peratus (2022), 56.2 peratus (2023) dan 52.9 peratus pada 2024.
Penurunan itu mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keterjaminan makanan negara, khususnya apabila pengeluaran padi tempatan didakwa semakin terkesan akibat pelbagai isu struktur termasuk pengairan, saliran, kos input dan produktiviti sawah yang tidak stabil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, keadaan berkenaan menjadikan sasaran kerajaan mencapai SSR 75 peratus pada 2025 dan 80 peratus menjelang 2030 sukar dicapai jika tiada pembaharuan dilakukan.
Katanya, pada tahun 2020 Malaysia masih mampu menampung kira-kira 62 peratus keperluan beras negara.
Namun angka itu merosot kepada 52.9 peratus pada tahun 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan kebergantungan kepada import sehingga 47.1 peratus.
“Walaupun stok beras semasa dilaporkan mencukupi untuk kira-kira lima bulan, hakikatnya keterjaminan makanan negara masih rapuh kerana separuh bekalan bergantung kepada pasaran luar,” katanya.
Penggunaan beras negara sekitar 2.5 juta tan metrik setahun, dengan kira-kira satu juta hingga 1.3 juta tan perlu diimport bagi menampung keperluan tempatan.
“Tanpa reformasi menyeluruh termasuk pemodenan sektor padi dan perlindungan tanah sawah, negara berisiko terus bergantung kepada import dalam jangka panjang,” katanya.
Kadar SSR ialah tahap negara menghasilkan beras sendiri.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, hasil padi makin menurun sehingga sekitar 4.2 tan metrik perhektar yang cukup jauh ketinggalan berbanding negara-negara Asia lain, antara punca pesawah tempatan dibelenggu masalah.
Hasil masih ditakuk lama berbanding negara-negara lain seperti Thailand dan Vietnam sekitar tujuh tan metrik serta Indonesia mencecah lapan tan metrik menyaksikan pesawah terus dihimpit kesusahan dan berdepan masalah berulang meskipun menikmati pelbagai subsidi serta belian padi yang tinggi sehingga RM1,500.
Hasil rendah tersebut antara lain turut berpunca daripada isu infrastruktur khususnya saliran yang masih jauh ketinggalan serta aspek pengurusan bendang dalam kalangan pesawah sendiri.
Mohd. Shazwan berkata, beliau difahamkan jumlah stok penimbal beras negara juga semakin berkurangan.
“Setakat Februari 2026, jumlah stok fizikal beras negara sekitar 1.09 juta tan metrik, stok penimbal kecemasan (200,000) tan metrik dan stok perdagangan, 889,285 tan metrik. Ia mencukupi untuk lebih lima bulan penggunaan negara jika berlaku gangguan bekalan.
“Sebelum ini, skim stok penimbal kebangsaan difahamkan menyimpan sehingga 290,000 tan metrik sebagai rizab strategik negara,” katanya.
Mohd. Shazwan berkata, daripada segi keterjaminan makanan negara, Malaysia belum benar-benar selamat daripada segi bekalan makanan ruji itu.
Katanya, jika negara pengeksport seperti India, Thailand atau Vietnam menghadkan eksport, Malaysia boleh terdedah kepada krisis bekalan dan kenaikan harga.
“Masalah pengairan dan infrastruktur juga memberi kesan besar dan antara punca SSR rendah juga berkait sistem pengairan, produktiviti sawah dan perubahan iklim. Apabila hampir separuh beras datang dari luar negara, sebarang gangguan geopolitik, perang, bencana alam atau sekatan eksport akan terus memberi kesan kepada rakyat.
“Negara yang mengimport hampir separuh bekalan beras secara asasnya bukan berada dalam keadaan selesa dari sudut keterjaminan makanan. Apabila sungai pengairan tidak diselenggara, saliran dipenuhi pokok liar, bekalan air sawah tidak konsisten dan tanah sawah terus berkurangan, maka SSR akan terus menurun dan pergantungan kepada import terus meningkat.
“Hakikat paling membimbangkan ialah pada 2024, Malaysia menghasilkan hanya 53 kampit daripada setiap 100 kampit beras yang dimakan rakyat, manakala baki 47 kampit perlu dibeli dari luar negara. Jika berlaku sekatan eksport atau krisis bekalan global, kesannya akan terus dirasai oleh pengguna dan petani tempatan,” katanya.
– UTUSAN










