Kes denggi di Pulau Pinang turun 34 peratus

Kes denggi di Pulau Pinang turun 34 peratus

DANIEL Gooi Zi Sen (kiri) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Milestone 10,000 Ahli dan Majlis Apresiasi Sukarelawan Belia Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kes demam denggi di Pulau Pinang menunjukkan trend penurunan setakat Minggu Epidemiologi (ME) ke-24 tahun ini, meskipun kes di peringkat kebangsaan meningkat sebanyak 25 peratus bagi tempoh sama.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, sehingga 20 Jun lalu, Pulau Pinang merekodkan sebanyak 629 kes berbanding 946 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 317 kes atau bersamaan 34 peratus.

“Apapun, kita masih memantau perkembangan ini kerana pada asalnya kita menjangkakan trend peningkatan turut berlaku di Pulau Pinang. Namun, setakat ini, kita lihat trend ini semakin menurun,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Milestone 10,000 Ahli dan Majlis Apresiasi Sukarelawan Belia Pulau Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Daniel berkata, setakat tahun ini juga, hanya satu kes kematian akibat demam denggi direkodkan di Pulau Pinang iaitu melibatkan seorang warga emas di daerah Timur Laut.

“Kes itu berlaku pada awal tahun dan mangsa bukan sahaja menghidap denggi, malah, didapati turut mengalami komplikasi daripada beberapa penyakit lain,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Daniel memberitahu, program Sukarelawan Belia Pulau Pinang mencatatkan perkembangan positif apabila jumlah ahlinya kini melepasi 10,000 orang sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2020.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa semakin ramai golongan belia kini tampil untuk menyumbang masa, tenaga serta kepakaran mereka demi manfaat masyarakat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN