ALOR SETAR: Kadar Sara Diri (SSR) padi negara terjejas sekiranya 30 peratus daripada 200,000 petani tidak mengerjakan sawah akibat peningkatan kos operasi.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, petani terpaksa mengeluarkan kos yang sangat tinggi jika mereka tetap mahu mengusahakan sawah ketika ini.
Katanya, antara RM5,000 ke RM5,500 diperlukan ketika ini untuk mengusahakan sehektar sawah. Sekiranya krisis tenaga global terus berlaku tidak mustahil kosnya boleh melonjak kepada RM7,000 sehektar.
“Kalau ini nilai yang kami kena bayar, kami tak boleh nak usahakan sawah sebab kos terlalu tinggi. Bayangkan cuma 30% sahaja petani tidak tanam padi maka akan memberi kesan kepada krisis makanan.
“Ini tidak termasuk petani yang tukar tanaman dan ada juga yang buat sawah tapi untuk makan sendiri sahaja. Apatah lagi jika negara pengeksport seperti India dan Vietnam menyekat pengeluaran beras mereka untuk kita,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Abdul Rashid berkata, harga lantai padi semasa pada kadar RM1,500 semetrik tan, tidak lagi relevan dengan kos sara hidup dan kos input pertanian yang melambung tinggi.
Jika harga itu dikekalkan, pesawah akan terus berdepan kerugian meskipun pelbagai insentif disalurkan untuk langkah penyelesaian sementara.
“Kerajaan perlu naikkan harga lantai padi kepada RM3,000 semetrik tan kerana ia amat perlu bagi membolehkan pesawah memperoleh margin keuntungan munasabah untuk kelangsungan hidup.
“Jika harga dinaikkan, insentif pembajakan boleh dihapuskan dan disalurkan kepada subsidi Beras Putih Tempatan (BPT) sekiranya kerajaan masih ingin mengekalkan harga kawalan RM2.60 sekilogram kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PeSAWAH Bahagian Sungai Petani, Mohd. Farhan Mohamad berkata, penyelesaian jangka panjang amat diperlukan agar mereka dapat mengerjakan sawah dengan lebih praktikal bagi menjamin bekalan beras negara
“Insentif diumumkan kerajaan baru-baru ini meringankan beban pak tani tapi saya nampak ini hanyalah untuk jangka masa pendek, sedangkan yang kami perlukan adalah penyelesaian jangka panjang.
“Kita harap kerajaan boleh memperkenalkan kad fleet. Apabila ada kad subsidi itu kami boleh beli minyak diesel pada harga rendah dan tak terganggu dengan sebarang konflik global berkaitan dengan bahan api itu,” katanya. – UTUSAN










