HULU LANGAT: Masyarakat disaran mengelakkan sambutan hari lahir bertemakan hantu, bunian atau unsur mistik kerana ia tidak membawa manfaat serta boleh mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, sambutan hari lahir sepatutnya dijadikan medium untuk mensyukuri nikmat Allah SWT dan mendekatkan diri kepada agama.
Katanya, setiap bentuk keraian perlu berlandaskan amalan yang membawa keberkatan serta tidak bertentangan dengan nilai Islam.
“Apabila kita menyambut sesuatu hari kebesaran atau keraian termasuk hari lahir, alangkah lebih baik kita merujuk kepada amalan yang dapat membawa keberkatan.
“Kita elakkan perkara yang tidak bermanfaat, kontroversi atau boleh menimbulkan perkara yang tidak baik,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Daging Korban YADIM 2026 di sini, hari.
Sebelum ini, tular satu majlis sambutan hari lahir yang menggunakan tema bunian dan alam mistik sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai kesesuaiannya dari sudut agama dan budaya.
Susulan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) dilaporkan memanggil individu terlibat dalam penganjuran majlis tersebut bagi membantu siasatan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengulas isu tersebut berkata, sambutan sedemikian boleh membawa kepada kufur nikmat sekiranya nikmat kurniaan Allah SWT tidak diraikan dengan cara yang sewajarnya.
Zulkifli berkata, masyarakat perlu mendapatkan pandangan pihak berautoriti dalam hal berkaitan agama supaya sesuatu sambutan tidak tersasar daripada tujuan asal.
“Kita kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah serta memastikan setiap apa yang dilakukan dapat membawa kebaikan kepada semua.
“Orang ramai perlu jadikan sambutan hari lahir sebagai medan memperkukuh hubungan kekeluargaan dan meningkatkan amalan yang membawa keberkatan,” katanya. – UTUSAN










