Rombak sistem pekerja asing, bukan tambah kuota

Rombak sistem pekerja asing, bukan tambah kuota

Malaysia perlu menyelesaikan status etnik Rohingya yang berada di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pembaharuan menyeluruh sistem pengurusan pekerja asing termasuk membanteras sindiket pemerdagangan manusia, mem­­perkukuh pangkalan data serta memperketat kawal selia agensi pekerjaan swasta dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet minggu depan.

Wakil Migrant Care Malaysia, Alex Ong berkata, langkah itu lebih penting daripada sekadar menambah kuota pekerja asing kerana kelemahan sedia ada telah mewujudkan pelbagai isu termasuk migrasi tidak teratur, eksploitasi pekerja dan penyeludupan manusia.

Katanya, kerajaan juga perlu meneliti semula kegagalan program pengampunan dan pemutihan pekerja asing sejak 2011 yang didakwa dimanipulasi oleh ejen melalui kelemahan pelaksanaan dasar.

“Agensi pekerjaan swasta berlesen perlu menjalani Audit Pengambilan Beretika sebelum lesen mereka diperbaharui bagi memastikan industri pengambilan pekerja asing lebih telus dan berintegriti,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurutnya, sektor perkhidmatan pembersihan terutama perkhidmatan dari rumah ke rumah turut memerlukan kawal selia lebih ketat kerana didakwa menjadi antara saluran kepada penyeludupan migran, pekerjaan tidak formal, buruh paksa dan eksploitasi pekerja.

Alex berkata, kerajaan juga perlu membangunkan pangkalan data yang lebih telus bagi mengesan pendatang tanpa izin, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi pe­nguat kuasa, kementerian serta kedutaan negara sumber.

Sebelum ini Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju supaya satu mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing diadakan seawal minggu depan bagi meneliti dan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan.

Mesyuarat itu akan di­pengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dengan penglibatan agensi berkaitan bagi membincangkan pelbagai isu termasuk keperluan tenaga kerja, pengurusan pekerja asing serta penambahbaikan dasar.

Mengenai cadangan membenarkan etnik Rohingya bekerja, katanya, sebarang keputusan hanya wajar dibuat selepas kerajaan mempunyai pangkalan data lengkap bagi pemegang kad UNHCR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN