Rasuah RM1.1 billion: SPRM ambil keterangan 26 saksi

Rasuah RM1.1 billion: SPRM ambil keterangan 26 saksi

ABD. Halim Aman (tengah) selepas mengadakan lawatan ke Pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan 26 saksi berhubung siasatan kes perjanjian kerajaan melibatkan syarikat semikonduktor Arm Holdings.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, siasatan masih diteruskan dan kini menunggu permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) yang dikemukakan melalui Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan keterangan daripada saksi yang berada di luar negara.

“Selepas proses rakaman keterangan saksi selesai, SPRM dijangka mengambil keterangan daripada dua anggota Kabinet serta seorang bekas anggota Kabinet bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini.

Hadir sama Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd. Fuad Bee Basrah.

Pada Mac lalu, SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung projek kerjasama strategik semikonduktor bernilai kira-kira RM1.1 bilion antara Kerajaan Malaysia dan Arm Ltd. dari United Kingdom (UK) susulan aduan yang diterima berkaitan kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa, penipuan serta kelemahan tadbir urus.

Siasatan tersebut sebelum ini melibatkan rakaman keterangan beberapa individu termasuk bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, bekas pegawainya, James Chai dan pegawai daripada beberapa kementerian serta agensi kerajaan berkaitan.

Pada Mei lalu, SPRM memaklumkan siasatan terhadap elemen jenayah dalam kes berkenaan hampir selesai dan suruhanjaya itu telah mencadangkan pertuduhan terhadap dua individu namun keputusan muktamad tertakluk kepada pertimbangan Jabatan Peguam Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN