Pulau Pinang warta 50 item warisan sebagai tarikan pelancong

Pulau Pinang warta 50 item warisan sebagai tarikan pelancong

WONG Hon Wai (tengah) ketika menghadiri program Penang Lang Community Day 2026 sempena Sambutan Hari Warisan Dunia George Town di Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebanyak 50 item warisan negeri telah diwartakan dalam usaha memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan warisan bertaraf dunia.

Pewartaan yang dibuat di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang itu membabitkan 15 tapak warisan, tujuh elemen warisan kebudayaan tidak ketara serta 28 makanan warisan yang mencerminkan kepelbagaian sejarah, budaya dan identiti negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, antara tapak warisan yang diwartakan ialah Prasasti Cherok Tok Kun, Fort Cornwallis, Tapak Arkeologi Guar Kepah, Penang Free School, Masjid Kapitan Keling, Khoo Kongsi dan Gereja St. George.

Katanya, bagi warisan kebudayaan tidak ketara pula, tujuh elemen yang diwartakan ialah budaya nasi kandar, budaya kopitiam, perarakan Thaipusam, perarakan Chingay, Pesta St. Anne Bukit Mertajam, dialek Tanjong Pulau Pinang serta seni mempertahankan diri tradisional India iaitu Silambam.

Beliau berkata, 28 makanan ikonik Pulau Pinang yang disenaraikan sebagai makanan warisan pula termasuk nasi kandar, mi Hokkien Pulau Pinang, roti Bengali, char koay teow, cendol, teh tarik dan lain-lain.

“Semua pewartaan ini bertujuan memastikan sejarah dan kepelbagaian budaya Pulau Pinang terus terpelihara, sekali gus mengukuhkan daya tarikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia,” katanya ketika merasmikan Penang Lang Community Day 2026 sempena Sambutan Hari Warisan Dunia George Town, semalam.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri turut menyokong beberapa inisiatif penting ke arah pengiktirafan antarabangsa seperti pencalonan bersama Malaysia-Singapura bagi perarakan Chingay serta pencalonan bersama Malaysia-China bagi tarian singa untuk dimasukkan dalam Senarai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.

“Selain itu, Pulau Pinang juga terlibat dalam cadangan tapak Warisan Dunia UNESCO bertajuk ‘Historic Mercantile Settlements: George Town and the Indian Ocean’ yang diterajui India dengan penyertaan Masjid Kapitan Keling dan Nagore Dargah di George Town.

“Cadangan tersebut bagaimanapun masih berada pada peringkat kajian awal pada masa ini,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN