KUALA LUMPUR: Ketika landskap politik negara terus berubah dan tiada jaminan mana-mana parti mampu memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), persoalan mengenai siapakah individu paling layak menerajui negara selepas pilihan raya itu semakin menjadi perhatian.
Pengerusi Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Datuk Abdullah Sani Abd. Hamid berpandangan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih merupakan tokoh paling sesuai untuk meneruskan kepimpinan negara bagi penggal kedua, terutama selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.
Menurut beliau, pelbagai pihak termasuk ahli akademik dan pemikir negara sebelum ini pernah membincangkan keadaan negara yang berdepan pelbagai cabaran dari sudut sistem pentadbiran, ekonomi dan tadbir urus sebelum Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan pada November 2022.
Katanya, pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif di bawah kerangka Malaysia Madani telah membawa perubahan besar termasuk usaha membasmi kemiskinan tegar, memperkukuh kebajikan rakyat serta memperbaiki kedudukan ekonomi negara.
“Apabila Anwar mengambil alih pentadbiran negara, banyak pembaharuan diperkenalkan. Antara yang sering disebut ialah kejayaan menangani isu kemiskinan tegar dan memperkukuhkan semula keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Ini merupakan satu pencapaian luar biasa yang perlu dinilai secara objektif oleh rakyat,” katanya hari ini.
Naib Ketua Cabang Keadilan Kuala Langat itu berkata, dalam masa sama, perkembangan politik yang berlaku dalam beberapa parti lain turut mencetuskan persoalan mengenai hala tuju kepimpinan negara pada masa depan.
Menurut beliau, pergolakan yang berlaku dalam beberapa parti politik menyebabkan rakyat mula memikirkan siapakah pemimpin yang benar-benar mampu menerajui negara sekiranya tiada satu gabungan berjaya memperoleh dominasi besar selepas PRU16.
Katanya, aspek paling penting yang perlu dinilai bukan sekadar kekuatan parti, sebaliknya keupayaan seseorang pemimpin memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.
“Realitinya, rakyat akan melihat siapa yang mampu membawa manfaat kepada negara. Hari ini kita menyaksikan pelbagai pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia yang dikaitkan dengan kepimpinan Perdana Menteri.
“Ia bukan sahaja melibatkan hubungan diplomatik, malah keyakinan pelabur asing dan penghormatan yang diberikan oleh negara-negara besar terhadap Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kemampuan menarik pelaburan asing, memperkukuhkan hubungan perdagangan antarabangsa serta memastikan kestabilan ekonomi ketika dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan menjadi antara kriteria penting yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin negara.
Menurutnya, setakat ini beliau tidak melihat tokoh lain yang mempunyai pengalaman, jaringan antarabangsa dan kredibiliti setanding dengan Anwar untuk mengemudi negara dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar.
“Kita percaya rakyat cukup matang untuk membuat penilaian. Walau apa juga serangan politik dan fitnah yang dilemparkan, Perdana Menteri tetap meneruskan tugas beliau termasuk memperkukuh hubungan perdagangan serta kerjasama antarabangsa demi kepentingan negara.
“Akhirnya rakyat akan menentukan siapa yang paling layak untuk menerajui Malaysia. Pada pandangan saya, Anwar masih merupakan pilihan paling sesuai untuk meneruskan agenda pembangunan dan kestabilan negara selepas PRU16,” katanya. – UTUSAN










