Perkukuh inovasi, cipta ekonomi bernilai tinggi tingkat pembangunan Pulau Pinang

Perkukuh inovasi, cipta ekonomi bernilai tinggi tingkat pembangunan Pulau Pinang

ZAIRIL Khir Johari (lima dari kiri) bergambar kenangan pada majlis The Hatchere Innovation Showcase 2026 di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang perlu mengukuhkan aktiviti inovasi, pembangunan produk, penciptaan harta intelek dan mencipta peluang ekonomi bernilai tinggi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri itu terus mampan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, fasa pertumbuhan seterusnya bagi Pulau Pinang bergantung kepada keupayaan negeri itu menarik lebih banyak aktiviti inovasi serta memperkukuh keupayaan pembangunan produk dan teknologi.

Menurut beliau, walaupun Pulau Pinang telah muncul sebagai antara hab pembuatan dan teknologi utama di Asia sejak lebih lima dekad lalu, negeri itu kini perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar kapasiti pembuatan.

“Di seluruh dunia, syarikat kini mencari ekosistem yang menawarkan lebih daripada keupayaan pembuatan semata-mata. Mereka memerlukan kepakaran kejuruteraan, sokongan inovasi, bakat berkualiti, kerjasama industri dan rantaian bekalan yang kukuh,” katanya ketika merasmikan The Hatchere Innovation Showcase 2026 di sini, hari ini.

Zairil berkata, Pulau Pinang berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan tersebut menerusi ekosistem industri matang, tenaga kerja kejuruteraan berpengalaman, institusi akademik yang kukuh serta rangkaian rantaian bekalan yang telah dibangunkan sejak sekian lama.

Kedudukan itu turut selari dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Pulau Pinang 2025-2030 yang menyasarkan sumbangan ekonomi digital sebanyak 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri menjelang 2030.

Katanya, sasaran tersebut akan dipacu melalui pelaburan baharu dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan semikonduktor termaju yang semakin mendapat perhatian pelabur global.

“Peningkatan kerjasama inovasi antarabangsa yang melibatkan Pulau Pinang membuka ruang lebih luas kepada pemindahan ilmu, pembangunan keupayaan, pertumbuhan bakat dan aktiviti ekonomi baharu di negeri berkenaan.

“Pembangunan ekosistem inovasi yang kukuh amat penting kerana inovasi tidak berlaku secara bersendirian. Ia memerlukan kerjasama erat antara industri, institusi akademik, kerajaan dan rakan teknologi.

“Inisiatif seperti The Hatchere memainkan peranan penting dalam menghubungkan inovator antarabangsa dengan bakat tempatan, kepakaran kejuruteraan dan keupayaan pembuatan yang terdapat di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN