Populariti yang dikecapi selebriti media sosial, Imran Bard atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin, 25, mungkin membuatkan ramai beranggapan dia tidak lagi perlu memikirkan soal pendidikan.
Sebagai antara pempengaruh muda yang berjaya mencipta nama dalam dunia digital, Imran bukan sahaja mempunyai kelompok peminat yang besar, malah mampu menjana pendapatan sendiri menerusi pelbagai platform dan kerjasama komersial.
Namun di sebalik kejayaan tersebut, Imran mempunyai pendirian yang berbeza. Baginya, pendidikan tetap perlu menjadi keutamaan kerana kerjaya sebagai pempengaruh tidak menjanjikan kestabilan untuk jangka masa panjang.
Menurut Imran, dia tidak pernah melihat populariti yang diraih hari ini sebagai jaminan masa depan, malah percaya seseorang itu perlu mempunyai ilmu dan asas kerjaya yang kukuh untuk terus relevan dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Akademik tetap penting bagi saya. Saya percaya masa saya dalam industri ini mungkin tidak lama. Mungkin esok atau lusa akan ada orang baharu muncul. Kita tidak boleh bergantung kepada pendapatan sebagai pencipta kandungan semata-mata kerana kerjaya itu mungkin tidak mampan.
“Sebab itu, kita perlu membina kerjaya yang lebih kukuh. Saya percaya, pendidikan memberi asas yang sangat penting untuk masa depan.
“Walau sehebat mana seseorang itu dalam media sosial, saya rasa ilmu dan kelayakan tetap perlu ada sebagai sandaran,” katanya.
Atas kesedaran itu juga, Imran mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang kulinari di Kanada meskipun ketika itu namanya sedang berada di puncak populariti.
Malah, dia sanggup menggunakan dana sendiri untuk mengikuti kursus sijil kulinari di Centennial College, Toronto, demi menambah ilmu dan pengalaman dalam bidang yang diminatinya sejak kecil.
Menurut Imran, minat terhadap dunia masakan lahir daripada latar belakang keluarganya yang banyak terlibat dengan penyediaan makanan tradisional dan masakan kampung.
“Saya dibesarkan dalam keluarga yang suka memasak, tetapi lebih kepada masakan kampung yang dijual di tepi jalan atau warung. Dari situ timbul keinginan untuk saya mempelajari bidang kulinari secara formal.
“Pada masa hadapan, saya berhasrat untuk membuka kedai untuk ibu bapa saya, tetapi dengan konsep yang lebih profesional.
“Saya mahu melihat perniagaan itu berkembang daripada suasana kampung kepada sebuah restoran yang cantik dan bertaraf fine dining. Itulah antara sebab utama saya sanggup pergi belajar sehingga ke Kanada,” ujarnya.
Tambah Imran, pendidikan bukan sekadar tentang mendapatkan sijil, tetapi juga membuka peluang untuk memahami sesuatu bidang secara lebih mendalam.
“Sebelum ke Kanada, saya sudah belajar di Malaysia selama dua setengah tahun. Kemudian saya menyambung kursus sijil di luar negara kerana mahu melihat sendiri bagaimana suasana pembelajaran di sana.
“Pengalaman itu memberi banyak pendedahan dan membantu membentuk diri saya menjadi lebih matang,” katanya.
Mengulas mengenai pengajiannya, Imran berkata, kursus yang diikutinya berlangsung selama kira-kira tujuh bulan dan telah tamat sepenuhnya.
Walaupun tempoh tersebut dianggap singkat, dia mengakui pengalaman yang dilalui sepanjang berada di Kanada memberikan pelbagai pengajaran, termasuk berdepan cabaran hidup berdikari di negara asing.
Katanya, empat bulan pertama agak mencabar kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan musim sejuk yang ekstrem sehingga menyukarkan pergaulan dan aktiviti harian.
Namun, keadaan berubah apabila cuaca semakin baik dan dia mula berpeluang bekerja sambilan di restoran serta berkenalan dengan lebih ramai orang.
“Empat bulan pertama memang agak sukar kerana cuaca terlalu sejuk. Orang ramai tidak keluar rumah dan keadaan di luar sangat sunyi. Saya hanya pergi ke kelas dan pulang ke rumah setiap hari.
“Tetapi tiga bulan terakhir menjadi antara pengalaman paling menyeronokkan. Saya dapat bertemu ramai orang, belajar banyak perkara di dapur dan bekerja di restoran. Dari situlah saya memperoleh pengalaman yang sangat berharga,” katanya.
Dalam masa sama, Imran turut memasang impian untuk kembali ke benua Amerika dalam masa terdekat bagi meneruskan kembara makanan yang menjadi minatnya.
Katanya, dia mahu menjelajah pelbagai negara di Amerika Utara, Amerika Tengah dan Amerika Selatan bagi mengenali budaya serta cita rasa makanan yang berbeza sebelum membawa inspirasi tersebut pulang ke Malaysia.
“Insya-Allah, saya akan kembali ke sana untuk melancong dan melakukan kembara makanan. Saya mahu mencuba pelbagai jenis makanan dari negara yang berbeza dan mencari ilham yang boleh dibawa pulang ke Malaysia.
“Jika ada rezeki pada masa hadapan, saya memang berhasrat untuk membuka restoran sendiri. Jadi, pengalaman melihat budaya makanan di negara luar sangat penting untuk membantu saya merealisasikan impian tersebut,” katanya.










