Pemilik tanah benarkan warga asing bina flat di Sungai Tekali

Pemilik tanah benarkan warga asing bina flat di Sungai Tekali

TANGKAP layar yang memaparkan sebuah flat empat tingkat di Sungai Tekali, Hulu Langat, dipercayai dihuni komuniti Rohingya. – Foto FB Datuk Johan Abd Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilik tanah didakwa menjadi punca warga asing dipercayai komuniti pelarian Rohingya membina dan menghuni kediaman tiada kelulusan di Sungai Tekali, Hulu Langat. 

Mendedahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, isu terbabit pernah dibangkitkannya dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi berkaitan.

Katanya, pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi sudah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan. 

“Namun, punca utama adalah tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik.

“Itu bukan saja melanggar peraturan yang ditetapkan malah menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu itu secara berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, sebahagian maklumat dan tindakan yang sudah diambil tidak dapat didedahkan kepada umum kerana membabitkan operasi penguatkuasaan yang masih berjalan. 

“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat dan tindakan oleh agensi berkaitan, jelas bahawa peranan pemilik tanah antara faktor utama yang menyumbang kepada berlarutan isu ini. 

“Atas sebab itu, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka,” katanya.

Johan berkata, beliau akan membangkitkan semula perkara itu dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dapat diambil terhadap semua pihak yang terbabit.

“Saya berpandangan semua pihak yang terbabit perlu diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa agar isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya. 

Berdasarkan maklumat dikongsikan Johan, dipercayai seramai 400 individu etnik Rohingya membuat dan membina perkampungan di lokasi sama. 

Dalam pada itu, Johan menzahirkan penghargaan kepada penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin atau lebih dikenali Pak Azad kerana membantu membawa isu itu kepada perhatian umum. 

Terdahulu, tular video memaparkan Azad, 50, mendedahkan kewujudan flat empat tingkat yang sangat uzur dengan sambungan perpaipan dan pendawaian elektrik yang mencurigakan dipercayai didiami komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN