KUBANG PASU: Pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra di sini hari ini atas tuduhan mengedar 14.63 kilogram (kg) kanabis, minggu lalu.
Tertuduh, Ishvherr Singh Jagjit Singh, 24, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri dan tiada pengakuan direkodkan.
Dia didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 14,630.76 gram di lokasi sekatan jalan raya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada pukul 11.46 pagi, 15 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama di mana boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Sharifah Nurlin Atiqah Wan Idrus, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pada 17 Jun lalu, akhbar ini melaporkan seorang pelajar sebuah IPTS di ibu negara ditahan ketika cuba menyeludup 14.63kg bunga ganja bernilai RM1.17 juta dari Thailand ke negara ini.
Pemuda terbabit yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu ditahan polis di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan pemeriksaan menemukan 13 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi dadah terbabit.
Bungkusan berisi dadah itu disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan dengan suspek yang berperanan sebagai penghantar menerima upah RM4,000 bagi setiap penghantaran dadah yang berjaya dilakukan. – UTUSAN










