PETALING JAYA: Dakwaan bahawa Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan dua anaknya gagal dihubungi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan adalah tidak berasas.
Barisan peguam yang mewakili isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu menafikan kenyataan Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar bahawa anak guamnya gagal dihubungi.
Menurutnya, dakwaan itu mengelirukan serta memberi gambaran tidak tepat berhubung tahap kerjasama anak guamnya dengan pihak berkuasa.
“Hakikatnya, pihak peguam telah memberikan maklum balas bertulis pada hari sama notis polis diterima.
“Anak guam kami sentiasa boleh dihubungi dan memberikan kerjasama sepenuhnya melalui peguam mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan berpunca daripada laporan polis dibuat seorang bekas pekerja yang telah ditamatkan perkhidmatan daripada pasukan tersebut.
“Menggerakkan jentera kerajaan berdasarkan rungutan seorang pekerja yang ditamatkan perkhidmatan menggambarkan kegagalan besar dalam usaha wajar institusi, selain membazirkan sumber awam dengan merakam keterangan daripada 17 individu,” katanya.
Kenyataan itu turut mempersoalkan penggunaan Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang membawa kepada siasatan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dengan mendakwa wujud ketidakseragaman dalam penguatkuasaan undang-undang.
Katanya, wujud layanan berbeza terhadap kes lain yang menurut mereka tidak menerima tindakan yang sama daripada pihak berkuasa.
Menurutnya, siasatan di bawah Seksyen 124B yang membawa kepada penggunaan SOSMA menunjukkan perbezaan ketara berbanding laporan polis yang dibuat terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwaryang didakwa tidak dikenakan tindakan lanjut.
“E-mel domain awam yang sebelum ini mendedahkan kerjasama dengan firma perunding Washington, Perseus Strategies bagi melobi kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk campur tangan terhadap Perdana Menteri ketika itu.
“Namun, Bukit Aman tidak merakam sebarang kenyataan atau memanggil mana-mana saksi.
“Sekiranya pelantikan firma perhubungan awam oleh seorang warganegara persendirian memenuhi Seksyen 124B maka tindakan melibatkan kerajaan asing juga perlu dinilai dengan standard yang sama,” katanya.
Peguam Naimah berkata, perkara itu menunjukkan wujud pendakwaan selektif terhadap individu tertentu, selain mempersoalkan layanan berbeza dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Penggunaan SOSMA dalam pertikaian pekerjaan yang didakwa tidak berasas melibatkan warganegara persendirian.
“SOSMA adalah undang-undang yang bertujuan menangani ancaman keganasan dan keselamatan negara dan penggunaannya bersama Seksyen 124B boleh mewujudkan satu ‘precedent’ (duluan) yang membimbangkan serta menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










