Mangsa eksploitasi online perlu dilindungi, bukan ditahan Sosma

Mangsa eksploitasi online perlu dilindungi, bukan ditahan Sosma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi keganasan dalam talian perlu diberikan perlindungan sewajarnya dan tidak sepatutnya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Perkara itu ditegaskan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Hak Kanak-kanak (KRPPM-Hak Kanak-kanak) dan beberapa pertubuhan masyarakat sivil.

Kumpulan itu merujuk kepada penahanan enam lelaki termasuk tiga remaja bawah umur yang disyaki terlibat dalam aktiviti berorientasikan keganasan berkaitan kumpulan militan Islamic State (IS) menerusi operasi khas Cawangan Khas Bukit Aman pada 14 dan 15 Februari lalu.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, kanak-kanak yang direkrut melalui media sosial dan platform permainan dalam talian bagi menyokong kumpulan pengganas sepatutnya dilihat sebagai mangsa manipulasi serta indoktrinasi dan bukannya ancaman keselamatan.

“Kanak-kanak terbabit wajar diberikan perlindungan, pemulihan dan intervensi psikososial, bukan penahanan di bawah undang-undang keselamatan yang ketat.

“Kami menyambut baik laporan pembebasan kanak-kanak tersebut pada 13 Mac lalu, namun sebarang tindakan susulan perlu mengutamakan pemulihan dan pemantauan yang berstruktur,” katanya,

Dalam pada itu, Suhakam bersama kumpulan berkenaan turut menggesa kerajaan mengenakan moratorium segera terhadap penggunaan Sosma ke atas kanak-kanak serta memastikan mereka dilayan sebagai mangsa eksploitasi.

Jelasnya, Sosma juga tidak menyediakan perlindungan khusus kepada kanak-kanak termasuk dari segi pengawasan kehakiman yang mencukupi sebagaimana diperuntukkan dalam sistem keadilan kanak-kanak.

Sehubungan itu, kes membabitkan kanak-kanak yang terdedah kepada pengaruh ekstremis perlu ditangani melalui mekanisme perlindungan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 termasuk kaunseling, program pemulihan daripada pengaruh radikal, sokongan keluarga serta pemulihan berasaskan komuniti.

Pada 6 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail mengesahkan penahanan enam individu berusia antara 16 hingga 21 tahun di bawah Sosma tanpa mengabaikan hak yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-kanak 2001 serta Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak.

Kesemua mereka disiasat di bawah Bab 6A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan keganasan dan berdepan pelbagai pertuduhan termasuk Seksyen 130J iaitu mempromosi kumpulan pengganas serta menjadi atau mengaku sebagai ahli kumpulan pengganas selain Seksyen 130JB: memiliki, menyediakan, memaparkan atau mengedarkan bahan berkaitan kumpulan pengganas. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN