KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Toh Puan Na’imah Khalid, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin menyifatkan dakwaan yang mengaitkan wanita itu dan keluarganya terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan adalah `ibu kepada semua pembohongan’.
Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid berkata, sepanjang beliau dan seorang lagi peguam bernama Amir Zariff Abdullah, mereka tidak pernah mendapat sebarang arahan atau berlaku sebarang perbincangan untuk berbuat demikian.
“Berkenaan laporan polis yang tular di media yang berkenaan dengan Bloomberg dan berkenaan dengan tuduhan terhadap Toh Puan Na’imah, saya mengesahkan bahawa saya salah seorang yang dinamakan dalam laporan polis tersebut dan seorang lagi adalah Amir Zariff Abdullah.
“Sepanjang kami menjalankan tugas kami sebagai peguam kepada Toh Puan Na’imah, tidak ada sama sekali sebarang perbincangan atau arahan yang diberikan kepada kami untuk menggulingkan kerajaan atau untuk memperlekehkan demokrasi berparlimen.
“Tidak ada dan that is the mother of all lies (itu adalah ibu kepada segala pembohongan). Adalah penting untuk semua pihak fokus kepada fakta sebenar (dan) keluarga Allahyarham Tun Daim berhak untuk mempertahankan diri mereka di mahkamah dan juga di media daripada semua tohmahan daripada semua tuduhan yang diberikan sama ada dari pihak kerajaan ataupun oleh pihak SRPM. Itu hak mereka,” katanya.
Tambah peguam itu, keluarga terbabit berhak mempertahankan nama baik dan legasi keluarga mereka.
Pada 1 Mac lalu, Ketua Polis Negara memaklumkan, penelitian terhadap laporan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.
Katanya, siasatan berkenaan memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa bagi memastikan setiap aspek diteliti secara menyeluruh.
Sebelum ini, seorang individu berpengaruh dan agensi media antarabangsan disiasat polis berhubung dakwaan itu.
Siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan bahawa pihak pois telah memanggil dua individu yang dipanggil terdiri daripada pengadu dan seorang saksi bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan tersebut. – UTUSAN










