Pas perlu logo PN tarik pengundi atas pagar

Pas perlu logo PN tarik pengundi atas pagar

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) dilihat penting bagi Pas untuk memperluaskan sokongan terutama dalam kalangan pengundi atas pagar dan bukan Melayu, khususnya di kawasan bandar serta kerusi bercampur.

Penyelidik Kajian Geopolitik dan Elektoral Borneo Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, ia penting bagi membolehkan Pas menembusi kerusi bukan tradisional yang mempunyai demografi masyarakat majmuk.  

Beliau berkata, penggunaan logo itu juga berfungsi sebagai instrumen strategi Pas untuk mengurangkan stigma parti berasaskan agama dalam mana-mana pilihan raya.

“Simbol gabungan ini (PN) amat membantu Pas utk mengurangkan stigma kepartian teokratik (parti berasaskan agama khususnya Islam) sekali gus membolehkan mereka menembusi kerusi bukan tradisional yang mempunyai demografi masyarakat majmuk yang selama ini sukar dimenangi solo. 

“Bagi Bersatu, penggunaan logo PN demi membina identiti jenama politik yang kukuh. Sekiranya berlaku penjenamaan bersama Bersatu di bawah satu logo sama, kedua-dua parti mampu membentangkan sebuah pakatan alternatif yang lebih inklusif dan nasionalis untuk mencabar dominasi parti lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia

Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu akan bertanding menggunakan logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan sekali gus menegaskan komitmen untuk terus kekal dalam gabungan berkenaan.

Pada masa sama, Bendahari Agung Pas, Iskandar Abdul Samad turut mempertahankan keputusan Pas untuk menggunakan logo PN dalam kedua-dua pilihan raya itu. 

Syahruddin berkata, jalan penyelesaian terbaik secara politik bagi mengelakkan pertindihan kerusi dan kekeliruan pengundi adalah melalui rundingan pembahagian kerusi yang adil serta pematuhan kepada keputusan konsensus Majlis Tertinggi PN. 

Jelasnya, Pas tidak semestinya perlu keluar daripada gabungan itu, sebaliknya mereka boleh memohon keizinan khas utk menggunakan logo bulan di kawasan kubu kuat tradisional sekiranya pimpinan Bersatu bersetuju demi strategi kemenangan. 

“Tindakan menggunakan logo sendiri di Johor dan Negeri Sembilan mungkin memberi kelebihan di kawasan majoriti Melayu tegar, namun tindakan berundur sepenuhnya daripada PN secara mendadak boleh menjejaskan kestabilan politik jangka panjang gabungan politik Melayu Islam itu,” katanya. 

Beliau berkata, kedua-dua parti dijangka terpaksa menggunakan simbol parti masing-masing, sekiranya Pas dan Bersatu gagal mencapai penyelesaian secara konsensus untuk menggunakan logo PN sebelum tempoh penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.  

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menerima pencalonan di bawah logo PN daripada mana-mana calon yg membawa surat watikah rasmi yg ditandatangani oleh pucuk pimpinan tertinggi pakatan parti tersebut yang berdaftar secara sah. 

“SPR bertindak berdasarkan perlembagaan parti dan pendaftaran rasmi di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), maka hanya calon rasmi PN yang sah sahaja dibenarkan menggunakan simbol itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN