PETALING JAYA: Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) mendakwa Pas cuba melemahkan Perikatan Nasional (PN) apabila membiarkan kemelut melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berlarutan tanpa penyelesaian.
Presidennya, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, tindakan Pas yang dilihat semakin menguasai gabungan pembangkang itu bukan sahaja tidak demokratik, malah menjejaskan kekuatan PN sebagai blok pembangkang yang masih muda.
Menurut beliau, mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Kuala Lumpur malam tadi sepatutnya memberi tumpuan kepada masa depan Bersatu susulan keretakan hubungan antara parti itu dengan Pas yang semakin ketara.
Bagaimanapun, katanya, mesyuarat tersebut berakhir tanpa sebarang keputusan berhubung kedudukan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
“Sebaliknya, mesyuarat hanya menumpukan kepada kemasukan dua parti baharu iaitu Pejuang dan Parti Cinta Malaysia yang kini dijenamakan semula sebagai Parti Wawasan Nasional.
“Perbincangan mengenai nasib Bersatu pula ditangguhkan ke satu tarikh lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramasamy berkata, Pas mungkin menyedari bahawa tindakan berkonfrontasi secara terbuka dengan Bersatu ketika ini bukan langkah yang bijak walaupun parti itu dilihat berani memutuskan hubungan serta menyingkirkan beberapa pemimpin Bersatu.
Menurutnya, Pas juga berkemungkinan menyedari Bersatu hadir ke mesyuarat tersebut dengan persediaan secukupnya sekiranya berlaku sebarang usaha untuk menyingkirkan parti itu daripada PN.
Pada masa sama, beliau berpandangan kemasukan Pejuang dan Wawasan Nasional akan menjadikan kedudukan Bersatu dalam PN semakin sukar kerana kedua-dua parti itu berpotensi lebih cenderung menyokong Pas.
“Pas mungkin berjaya mengukuhkan kawalannya ke atas PN, tetapi dengan harga yang mahal iaitu melemahkan gabungan pembangkang itu sendiri.
“Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin sedang tersenyum melihat keadaan kucar-kacir yang semakin ketara dalam pembangkang menjelang pilihan raya,” katanya.
Sehubungan itu, Ramasamy berkata Pas wajar diberi ‘penghargaan’ kerana berjaya melemahkan kekuatan pembangkang demi memenuhi kepentingan dan ego pemimpinnya sendiri.
Dalam pada itu, beliau percaya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pilihan lain untuk berdepan kemelut yang berlaku dalam PN.
Katanya, langkah Muhyiddin melancarkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang turut disertai Urimai membuktikan Ahli Parlimen Pagoh itu sedang merangka platform politik yang lebih besar.
“Semakin kuat Pas menolak Bersatu ke sudut yang sempit, semakin pantas dan lebih besar tindak balas yang mungkin berlaku,” katanya. – UTUSAN










