PETALING JAYA: Pas tetap dengan keputusan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan datang.
Bendahari Agungnya, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan itu selaras dengan kedudukan parti itu yang masih kekal dalam PN walaupun kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah berakhir.
Menurutnya, isu penggunaan logo tidak seharusnya dijadikan pertikaian kerana mereka masih berada dalam PN selain lambang bulan yang sudah lama dikenali pengundi.
“Walaupun kami telah putus hubungan dengan Bersatu, Pas masih di dalam PN, Pas masih Pengerusi PN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin media melaporkan, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Pas patut menggunakan logo parti sendiri untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya selepas memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, tindakan Pas itu yang bersungguh-sungguh mempertahankan kedudukan dalam PN, dilihat seperti mahu mensabotaj Bersatu dan parti-parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan jenama PN, menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau dilaporkan berkata, lebih jujur jika parti berkenaan bertanding menggunakan identiti sendiri dan tidak menggunakan jenama PN selepas memutuskan hubungan dan tidak lagi komited kepada keputusan bersama gabungan itu.
Sementara itu, Iskandar berkata, Pas juga pada masa sama terbuka kepada usaha memperkukuhkan PN termasuk kemungkinan penyertaan beberapa pihak lain seperti kumpulan yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin, Parti
Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Menurutnya, perbincangan agihan kerusi bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan masih belum dimuktamadkan dan perlu diputuskan secara bersama antara komponen PN.
“Saya tidak boleh spekulasi berapa kerusi Pas akan bertanding. Tetapi sebagai parti teras blok pembangkang, sudah tentu Pas bertanding untuk paling banyak kerusi. Berapa, itu akan dibincangkan,” katanya.
Mengenai PRN Johor sebelum ini, beliau berkata Pas bertanding di 15 kerusi manakala Bersatu lebih 30 kerusi ketika itu.
Namun, beliau mengakui perubahan landskap politik semasa, beri kesan kepada pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang.
“Keadaan berubah, sudah tentu bilangan kerusi juga akan berubah,” katanya. – UTUSAN










