KUALA LUMPUR: Negeri Pantai Timur menjadi lokasi panas penyalahgunaan dadah sintetik di negara ini apabila kira-kira 70 peratus kes penagihan dikenalpasti melibatkan bahan perangsang jenis amfetamin (ATS).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, corak penyalahgunaan dadah di negeri-negeri tersebut kini menunjukkan perubahan ketara apabila bahan seperti ganja, heroin, ketum dan morfin tidak lagi menjadi pilihan utama penagih.
Katanya, golongan terbabit lebih cenderung mendapatkan ATS termasuk syabu dan metamfetamin yang dilihat semakin mendapat permintaan di negeri-negeri berkenaan.
“Bila kita kumpulkan data (dadah sintetik) daripada Kementerian Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan juga PUSPEN swasta, kemudian kita lakukan pemetaan, didapati keadaan paling serius adalah di negeri-negeri Pantai Timur. Sangat serius.
“Maknanya, di jalur Pantai Timur, penggunaan ganja, heroin, ketum dan morfin tidak lagi menjadi pilihan utama. Sebaliknya, mereka mencari ATS, syabu dan metamfetamin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kementerian menjelaskan jumlah kes penagihan dadah sintetik yang direkodkan sejak 2023 hingga kini.
Saifuddin berkata, jumlah kes penyalahgunaan dadah sintetik meningkat daripada 145,526 kes pada 2023 kepada 192,852 kes pada 2024.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu menurun kepada 141,817 kes pada tahun lalu.
Katanya, dadah sintetik jenis ATS yang merangkumi syabu dan amphetamine kekal menjadi bahan yang paling banyak disalah guna di negara ini.
Pada masa sama, Poay Tiong turut meminta kementerian menjelaskan strategi kerajaan dalam menangani peningkatan penggunaan dadah sintetik termasuk ancaman fentanyl memandangkan AADK melaporkan kira-kira 70 peratus kes penagihan dadah melibatkan dadah sintetik.
Mengulas perkara itu, Saifuddin berkata, pihak berkuasa turut mengesan kemunculan penyalahgunaan fentanyl yang mempunyai kesan jauh lebih berbahaya berbanding morfin.
“Yang terbaru, apabila pihak polis menjalankan operasi terhadap cecair vape, mereka menemui satu lagi bahan yang dikenali sebagai fentanyl. Ini lebih parah. Kesannya puluhan kali ganda lebih teruk daripada morfin dan boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan ancaman fentanyl di negara ini masih belum mencapai tahap serius berbanding dadah sintetik lain meskipun kes pengesanannya telah direkodkan. – UTUSAN









