PETALING JAYA: Ujian rawak antara cadangan utama bagi menangani penyalahgunaan dadah sintetik dalam kalangan pelajar sekolah yang kini semakin membimbangkan.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, selain itu memperketat kawalan terhadap produk berisiko berpotensi disalahgunakan, memperhebat penguatkuasaan melalui pemantauan siber, memperkukuh kerjasama risikan rentas sempadan dan hukuman lebih berat terhadap pembekal bahan terlarang kepada pelajar.
Menurutnya, penyalahgunaan dadah sintetik dalam kalangan pelajar amat merisaukan kerana bahan tersebut mempunyai kesan lebih kuat, sukar dikesan dan mudah diperoleh menerusi saluran moden termasuk platform digital.
“Ia berpotensi menjejaskan kesihatan mental dan fizikal generasi muda, meningkatkan risiko jenayah serta menghakis modal insan negara sekiranya tidak dibendung segera.
“Pihak berkaitan perlu memperkasa langkah pencegahan di sekolah melalui pendidikan antidadah yang berstruktur, penempatan kaunselor terlatih serta pelaksanaan program rakan sebaya sebagai antara pendekatan membendung gejala ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan pendekatan menyeluruh melibatkan ibu bapa, pihak sekolah, komuniti dan institusi sosial perlu digerakkan bagi memastikan pencegahan awal dapat dilaksanakan secara berkesan.
Tambahnya, isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar bukan sekadar masalah penguatkuasaan undang-undang, malah turut menjadi cabaran kesihatan awam dan keselamatan sosial yang memerlukan tindakan bersepadu serta berterusan.
Katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mengeluarkan amaran dan tindakan segera perlu diambil sebelum keadaan menjadi lebih serius.
“Melindungi generasi muda daripada ancaman dadah adalah tanggungjawab bersama dan mesti dijadikan keutamaan nasional demi masa depan negara,” katanya. – UTUSAN










