Vape jam tangan, evolusi dadah sintetik ‘ancaman senyap’ pelajar

Vape jam tangan, evolusi dadah sintetik ‘ancaman senyap’ pelajar

CONTOH rokok elektronik berbentuk jam tangan yang dijual di pasaran dan didakwa menjadi ‘ancaman senyap’ pelajar sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kewujudan rokok elektronik atau vape berbentuk jam tangan dan evolusi dadah sintetik kini menjadi ‘ancaman senyap’ terhadap golongan remaja termasuk pelajar sekolah.

Dengan bentuk yang mudah disamarkan dan akses yang semakin longgar, kedua-duanya membuka pintu kepada ketagihan nikotin serta bahan psikoaktif yang merosakkan otak, menjejaskan kesihatan mental dan meningkatkan risiko remaja terjerumus lebih jauh ke dalam dunia dadah yang tiada penghujung.

Situasi itu semakin membimbangkan apabila produk vape direka menyerupai jam tangan, pen dan pemacu USB sekali gus memudahkan pelajar menyeludupnya ke sekolah tanpa disedari guru.

Perisa manis seperti strawberi dan mangga menjadikan ia kelihatan tidak berbahaya sedangkan nikotin di dalamnya boleh menjejaskan fungsi otak serta tumpuan belajar.

Timbalan Presiden Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia), Muhammad Airdil Zakaria berkata, statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan lebih 76,660 remaja terjebak penggunaan dadah sintetik hanya dalam tempoh sembilan bulan pada 2025.

“Bahan sintetik tertentu dalam dadah itu memberi kesan secara langsung kepada sistem saraf pusat dan boleh mencetuskan keadaan psikiatri yang serius, sekali gus menjadikan rawatan dan pemulihan lebih kompleks.

“Penggunaan dadah sintetik dikaitkan dengan halusinasi, paranoid, kemurungan dan tingkah laku ganas atau agresif. Jika tidak dibendung, ia dibimbangi boleh menyebabkan remaja terjebak lebih jauh dalam dunia ketagihan, sekali gus menghancurkan masa depan mereka dengan risiko keciciran sekolah, masalah kesihatan mental kronik dan keruntuhan akhlak.

“Lebih membimbangkan, ketagihan ini bermula dengan penggunaan vape pelbagai bentuk termasuk jam tangan yang disamarkan sebagai aksesori fesyen. Dari nikotin, remaja mudah mencari sensasi lebih kuat lalu beralih kepada dadah sintetik yang memberi kesan lebih ekstrem,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Muhammad Airdil, kerosakan kognitif dan emosi jangka panjang akibat penyalahgunaan dadah sintetik turut menjejaskan usaha pemulihan termasuk kesukaran kembali menyesuaikan diri dalam masyarakat, mengekalkan fokus sepanjang program rehabilitasi serta mengelak risiko pengambilan berulang.

“Masyarakat termasuk ibu bapa perlu sedar bahaya dadah sintetik kepada golongan pelajar dan orang di sekeliling mereka, serta memantau anak-anak dengan lebih dekat.

“Jika dibiarkan tanpa kawalan, remaja bukan sahaja berisiko terjebak dalam ketagihan, malah boleh mengalami kerosakan mental dan fizikal yang serius,” ujarnya.

Beliau menyeru seluruh masyarakat berganding bahu dalam usaha mencegah generasi muda daripada terjebak dengan budaya penagihan baharu yang semakin membimbangkan ketika ini.

Katanya, kerjasama erat antara masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan penting dalam memperkasa usaha menyampaikan pengetahuan tentang bahaya dadah serta proses rawatan yang tersedia.

“Kita mesti semaikan semangat bersama untuk melindungi generasi akan datang. Bahaya dadah bukan sahaja merosakkan individu, malah menggugat kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN