Polis rampas dadah sintetik bernilai RM13.2 juta

Polis rampas dadah sintetik bernilai RM13.2 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang akhbar mengenai kejayaan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah sintetik bernilai RM13.2 juta selepas menumpaskan sindiket dipercayai aktif membekalkan bahan terlarang itu ke pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan, Pahang.

Kejayaan menerusi Op Musca itu hasil lima serbuan yang dijalankan pada 3 Julai lalu, sekali gus membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun.

Rampasan berkenaan melibatkan 84.3 kilogram (kg) serbuk MDMA, 4.4 kg pil ekstasi, 2.4 kg ketamin dan 730 gram pil Erimin 5.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menjadikan beberapa unit kondominium sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan dadah.

“Dadah yang dibungkus kemudian diedarkan ke pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan lokasi berasingan sebagai langkah mengurangkan risiko kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Hussein berkata, empat daripada tujuh suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau pula mendapati hanya seorang suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes perjudian.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Julai bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, JSJN turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah sindiket berkenaan.

Hussein berkata, polis menyita wang tunai dan pelbagai harta bernilai RM1.28 juta bagi melumpuhkan rangkaian kewangan sindiket serta menghalang mereka daripada meneruskan kegiatan pengedaran dadah.

Beliau berkata, antara yang disita ialah 10 kenderaan pelbagai jenis, 11 jongkong emas berat keseluruhan 476.1 gram, 35 barangan kemas, tiga jam tangan berjenama Rolex, Tudor dan Meserati serta dua beg tangan Louis Vuitton.

Katanya, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM74,266 dan 4,500 baht Thailand bersamaan kira-kira RM550.

“Nilai anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM14.6 juta.

“Keseluruhan dadah yang dirampas hasil kejayaan dua operasi ini boleh merosakkan seramai 307,000 orang yang menggunakannya,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu merupakan pencapaian signifikan JSJN Bukit Aman dalam menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah sintetik dan menggagalkan aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.

Katanya, operasi berkenaan turut memutuskan rantaian bekalan dadah di pusat-pusat hiburan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pemprosesan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN