KUALA LUMPUR: Malaysia terus memberi tekanan kepada Israel di pentas antarabangsa sehingga negara itu menghentikan pencerobohan di Lebanon dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha berkenaan diteruskan menerusi pelbagai platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), BRICS, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan (PBB).
Katanya, Malaysia ketika ini sedang menggerakkan sokongan negara anggota PBB bagi memastikan lebih banyak negara menyokong resolusi berkaitan Palestin pada sesi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) akan datang.
“Kita mesti terus memberikan tekanan secara berterusan dan kolektif. Jika undian pada UNGA nanti dapat melebihi 140 negara, ia akan menjadi tekanan yang sangat besar terhadap Israel.
“Tekanan itu penting bagi mendesak Israel menghentikan pencerobohan di Lebanon, menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin di Gaza dan menghentikan pencerobohan di Tebing Barat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta kementerian menjelaskan pendirian Malaysia berhubung jaminan keselamatan pelayaran di Selat Hormuz serta langkah diplomatik yang diambil bagi mengurangkan ketegangan dan mengekalkan keamanan di perairan strategik tersebut.
Mohamad berkata, usaha diplomasi peringkat tinggi melalui badan-badan dunia perlu diperkukuhkan bagi memastikan suara masyarakat antarabangsa terus memberi tekanan kepada Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati hak rakyat Palestin.
“Ini isu besar yang memerlukan tindakan diplomatik secara berterusan melalui PBB dan Majlis Keselamatan PBB,” katanya. – UTUSAN










