KUALA LUMPUR: Usaha secara kolektif perlu dilaksanakan bersama negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan pertubuhan antarabangsa lain bagi memastikan tindakan haram Israel mendapat hukuman yang tegas dan berkesan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia terus menyokong usaha membawa Israel ke muka pengadilan antarabangsa susulan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan sejagat yang dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Malaysia berpendirian tindakan haram Israel tidak boleh dibiarkan tanpa pembalasan. Hanya melalui tindakan kolektif antarabangsa termasuk negara-negara Islam dan Arab, keadilan untuk rakyat Palestin dapat ditegakkan.
“Malaysia juga menyokong sepenuhnya usaha membawa Israel ke muka pengadilan di badan kehakiman antarabangsa bagi memastikan hukuman yang tegas dan berkesan dikenakan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN–Beluran) mengenai langkah konkrit yang diambil kerajaan susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak Tergempar Arab–Islam di Doha agar tindakan punitif dikenakan terhadap Israel.
Mohamad berkata, dasar luar Malaysia kekal tegas dan konsisten di mana negara ini tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik atau ekonomi dengan Israel.
“Kerajaan Malaysia tidak akan menjalinkan hubungan ekonomi dengan pihak Israel. Malah, sejak 20 Julai 2014, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ketika itu telah membekukan pengeluaran Lesen Import dan Eksport ke Israel bagi semua syarikat tempatan kecuali syarikat multinasional (MNC),” katanya.
Menurut beliau, urusan perdagangan yang melibatkan Israel tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import dan Eksport) 2012, manakala kawalan barangan strategik pula dikawal melalui Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1540 berkaitan keselamatan global.
Namun katanya, terdapat syarikat-syarikat MNC yang beroperasi secara global termasuk di Malaysia yang menjadi sebahagian daripada rangkaian bekalan global serta turut melibatkan Israel dan perkara itu berada di luar kawalan kerajaan Malaysia.
“Kerajaan akan terus memantau situasi perdagangan agar kekal selaras dengan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin serta perkembangan rundingan damai Palestin–Israel.
“Malaysia akan kekal tegas dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin dan berdiri bersama komuniti antarabangsa dalam menuntut kebertanggungjawaban ke atas kezaliman Israel,” katanya. – UTUSAN










