PETALING JAYA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa mengenakan sekatan terhadap Israel serta tidak membiarkan kekejaman rejim Zionis di Asia Barat terus merebak hingga mengancam keamanan dunia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, serangan terbaharu Israel di Doha, Qatar bukan sekadar serangan terhadap beberapa wakil Hamas, sebaliknya mencabul kedaulatan sebuah negara dan menghina segala usaha pengantaraan yang dijalankan oleh masyarakat antarabangsa.
“Serangan ini jelas menunjukkan keganasan Israel akan terus menggugat kestabilan rantau itu dan kesannya pasti merebak ke seluruh dunia.
“Kekejaman ini mungkin bermula dengan Palestin, tetapi ia pasti tidak akan berakhir dengan Palestin. Ketika Timur Tengah semakin berbahaya untuk penduduknya, dunia turut akan merasainya.
“Inilah sebabnya mengapa sekadar menyokong penyelesaian dua negara tidak lagi mencukupi,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 2025 hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia kekal komited menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui pelbagai langkah termasuk menerusi Deklarasi New York.
Katanya, tindakan konkrit perlu segera diambil terhadap kuasa pendudukan Israel, selain menyediakan sokongan jangka panjang bagi memastikan pembangunan sebuah negara Palestin yang berkerajaan sendiri dapat direalisasikan.
“Ujian yang kita hadapi kini adalah ujian kewujudan. Selama 80 tahun kewujudan PBB, isu Palestin terus membelenggu dengan 77 tahun sejarahnya dicemari pembersihan etnik. Jika kita gagal menyelesaikan perkara ini, rakyat dunia akan hilang keyakinan terhadap PBB dan sistem antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad sekali lagi menggesa PBB melaksanakan reformasi segera agar badan dunia itu kekal relevan menangani cabaran global khususnya isu Palestin yang telah berlarutan terlalu lama.
Katanya, terdapat tiga pembaharuan mendesak yang penting untuk kelangsungan PBB termasuk menghadkan atau menghapuskan kuasa veto.
“Kita mesti mencabar setiap kali kuasa itu digunakan khususnya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan. Kuasa perlu dikembalikan kepada Perhimpunan Agung yang merupakan badan paling inklusif serta harus dibenarkan berperanan sebagai hati nurani dan suara dunia tanpa sekatan.
“Kita juga mesti mereka bentuk semula mekanisme pembiayaan global bagi memastikan ketelusan serta keadilan kepada negara-negara Selatan Global. Reformasi bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan,” katanya.
Mohamad turut menggesa PBB menuntut kebertanggungjawaban daripada Anggota Tetap Majlis Keselamatan melalui Resolusi 76/272: Inisiatif Veto kerana kegagalan berulang kali badan itu memenuhi kehendak Perhimpunan Agung perlu ditentang dengan tegas.
“Kita mesti mencari jalan melalui Resolusi 377A: Bersatu Demi Keamanan. Tidak lagi kita harus berdiam diri menerima penolakan terhadap suara kolektif dunia. Kita mesti mempersoalkan dan mencabar kuasa veto, seterusnya membebaskan Majlis Keselamatan daripada keadaan lumpuh yang memalukan ini,” katanya.
Beliau berkata, PBB perlu kekal sebagai pertubuhan antarabangsa yang relevan, berkesan dan menjadi penjaga keamanan global.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel melancarkan kempen genosid di Gaza yang meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan wilayah itu serta mencetuskan kebuluran besar-besaran. – UTUSAN











