KUALA LUMPUR: Seramai 4,010 pelarian dan pencari suaka telah didaftarkan di bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sejak pelaksanaannya bermula pada 1 Januari lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan Fasa 1 program itu membabitkan majoriti tahanan warga Myanmar etnik Rohingya yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 4,008 orang merupakan warganegara Myanmar manakala masing-masing seorang ialah warga Sudan dan Syria.
“Jumlah ini merangkumi 2,746 tahanan lelaki dewasa, 632 tahanan perempuan dewasa, 392 kanak-kanak lelaki dan 240 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web portal Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan statistik penuh setakat ini bagi pelarian dan pencari suaka yang telah berdaftar di bawah inisiatif DPP.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tahanan dewasa yang terlibat akan dipindahkan secara berfasa ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor, Perak bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP).
Katanya, pusat berkenaan mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang pada satu-satu masa.
“Sehingga 31 Mei 2026, seramai 101 tahanan telah dipindahkan ke PPKPPS Bidor dan daripada jumlah itu, 78 individu telah diperakukan sebagai pelarian di bawah Program DPP.
“Proses pembebasan mereka akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengikut proses perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Fasa 2 Program DPP yang melibatkan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta individu yang mengaku sebagai pelarian di luar DTI dijadual bermula pada separuh kedua tahun ini.
katanya, proses tersebut akan dilaksanakan di pusat-pusat penentuan status pelarian yang akan diumumkan kelak.
“KDN menyasarkan proses pendaftaran bagi golongan ini dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang 31 Disember 2029,” katanya. – UTUSAN










