KUALA LUMPUR: Konflik berlarutan di Asia Barat dijangka menyebabkan kos baja di negara ini meningkat antara 15 hingga 20 peratus berdasarkan penilaian semasa, manakala kos makanan ternakan meningkat sekitar lapan peratus.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, situasi itu berlaku memandangkan 63 peratus keperluan baja negara bagi sektor pertanian dan makanan bergantung kepada import.
“Kesan ini boleh memberi tekanan kepada kos pengeluaran makanan dalam tempoh suku tahun berikutnya.
“Kerajaan sedar tekanan kos sedang meningkat di peringkat industri. Sektor yang lebih terdedah termasuk logistik, pertanian, makanan, pembuatan, kimia, plastik, pembungkusan, farmaseutikal serta elektrik dan elektronik (E&E).
“Kos kargo (freight) global meningkat hampir dua kali ganda, manakala premium insurans bagi kapal dagang di laluan berisiko melonjak sehingga 16 kali ganda bagi satu perjalanan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman (GPS-Betong) mengenai penilaian impak ekonomi terkini susulan gangguan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos operasi industri tempatan.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, dari sudut pasaran buruh, kadar penyertaan tenaga buruh kekal stabil pada 70.9 peratus.
Bagaimanapun katanya, kadar pengangguran meningkat daripada 2.9 peratus pada Mac 2026 kepada 3.0 peratus pada April 2026 melibatkan 511,800 orang.
“Kerajaan akan terus memantau perkara ini kerana tekanan kos operasi yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada pekerjaan, pendapatan dan keputusan pelaburan firma.
“Pada masa sama, kerajaan memperkukuh usaha padanan pekerjaan supaya pekerja yang terkesan dapat kembali bekerja dengan lebih cepat dan pendapatan isi rumah tidak terjejas dengan ketara,” katanya.
Menurut beliau, antara langkah intervensi kerajaan bagi menangani situasi itu ialah dengan terus memperkukuh bantuan dan subsidi bersasar bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup.
“Selain itu, kerajaan turut melaksanakan pemantauan harian bagi menstabilkan bekalan dan harga barangan keperluan.
“Penyelarasan turut dibuat bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan pemain industri bagi memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara, di samping mempelbagaikan sumber bekalan bahan mentah,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap kelangsungan operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri tempatan.
“Bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan memperkukuh daya tahan negara melalui pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR),” katanya. – UTUSAN










