KUALA LUMPUR: Dua laporan siasatan forensik bebas mendapati dakwaan berhubung terlebih nilai dan penyelewengan kewangan dalam projek pembangunan Stesen Janakuasa Battersea di London adalah tidak berasas.
Kementerian Kewangan berkata, syarikat Battersea Project Holding Company telah melantik juruaudit forensik bebas, Evelyn Partners bagi menjalankan semakan terhadap perkara yang dibangkitkan berhubung laporan kewangan projek Stesen Janakuasa Battersea.
Katanya, dua laporan forensik yang dikemukakan merumuskan bahawa dakwaan yang dibangkitkan adalah tidak berasas, sekali gus tiada keperluan untuk siasatan lanjut.
“Semakan itu turut mendapati amalan perakaunan yang dilaksanakan oleh syarikat adalah selaras dengan piawaian perakaunan antarabangsa.
“Selain itu, akaun syarikat juga telah diaudit dan disahkan oleh PwC, salah sebuah daripada empat firma perakaunan terbesar,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Ia bagi menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai sama ada juruaudit forensik bebas telah dilantik bagi menyiasat ketulenan laporan kewangan projek Battersea Power Station susulan dakwaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Donagh O’Sullivan berhubung overvaluation aset pelaburan terbabit.
Bee Yin turut meminta penjelasan sejauh mana pendedahan isu itu menjejaskan kedudukan fair value pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Tambah kementerian, selaras dengan penemuan juruaudit forensik serta hasil kerja PwC sebagai juruaudit syarikat, tiada pelarasan penilaian pelaburan susulan dakwaan yang dibangkitkan bagi 2025.
“Prestasi dan penilaian pelaburan terus dipantau secara berkala selaras dengan amalan tadbir urus dan piawaian pelaporan kewangan,” katanya. – UTUSAN










