PETALING JAYA: Pembangunan KLIA Aeropolis di Sepang berpotensi menyumbang RM30 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta mewujudkan 56,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun, sekali gus memperkukuh kedudukan kawasan itu sebagai hab perniagaan dan logistik utama negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengasas Bersama Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, kawasan seluas 8,537 ekar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan dalam sektor berkaitan penerbangan, kargo, logistik dan pusat data.
Katanya, pembangunan kawasan berkenaan dijangka lebih tertumpu kepada aktiviti komersial dan perindustrian berbanding pembinaan perumahan berskala besar, mengambil kira kedudukannya yang berhampiran lapangan terbang serta keperluan zon keselamatan penerbangan.
“Industri yang mempunyai kaitan langsung dengan perjalanan udara dijangka menjadi penyumbang utama kepada pelaburan di KLIA Aeropolis dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Antara sektor yang berpotensi berkembang ialah pengendalian kargo, penyelenggaraan pesawat dan perkhidmatan logistik, selain penglibatan syarikat dari China yang melihat Malaysia sebagai pintu masuk bagi pasaran ASEAN,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keputusan China untuk menggunakan KLIA sebagai hab kargo bagi rantau ASEAN turut berpotensi meningkatkan permintaan terhadap kemudahan pergudangan, pengedaran dan perkhidmatan logistik di kawasan itu.
Selain itu, pembangunan pusat pemenuhan pesanan seluas 60 ekar oleh anak syarikat logistik Alibaba mencerminkan potensi kawasan berkenaan dalam menarik pelaburan sektor logistik.
Kashif berkata, pembangunan hotel baharu berhampiran KLIA turut berpotensi dipercepatkan susulan permintaan penginapan yang meningkat ketika acara besar berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
“Kehadiran lebih 260,000 penonton sempena Grand Prix Formula Satu (F1) baru-baru ini turut meningkatkan perhatian terhadap keperluan kapasiti penginapan di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kadar bilik hotel dilaporkan meningkat sehingga tiga kali ganda sepanjang hujung minggu perlumbaan, sekali gus memberi isyarat kepada pengusaha industri mengenai potensi permintaan penginapan berhampiran lapangan terbang dan litar berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan pembangunan pusat data turut berpotensi menjadi antara pemacu pertumbuhan baharu KLIA Aeropolis, khususnya dengan adanya tanah yang luas dan pembangunan kemudahan tenaga boleh baharu.
Katanya, pembinaan taman solar yang dijangka mula beroperasi tahun depan boleh membantu memenuhi keperluan tenaga bagi operasi pusat data dan industri lain yang memerlukan bekalan elektrik berskala besar.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kawasan berkenaan kurang sesuai untuk pembangunan perumahan berskala besar berikutan faktor bunyi pesawat dan keperluan zon keselamatan lapangan terbang.
Sebaliknya, pembangunan perlu memberi tumpuan kepada pembinaan gudang, pusat pengedaran, kilang berteknologi tinggi, pejabat, pusat data serta kemudahan komersial yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Kashif berkata, pelan pembangunan KLIA Aeropolis yang dikendalikan melalui anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) turut memberi penekanan kepada pembentukan kelompok industri aeroangkasa, penerbangan, kargo dan logistik.
Beliau berkata, pertumbuhan aktiviti perniagaan di kawasan itu juga berpotensi memberikan limpahan ekonomi kepada kawasan kediaman berhampiran, termasuk Salak Tinggi dan Dengkil.
Menurutnya, harga median rumah di daerah Sepang bagi tempoh 12 bulan sehingga Jun 2026 ialah RM577,500, manakala rumah teres di Salak Tinggi mencatatkan harga median sekitar RM434,000.
Beliau berkata, pertambahan aktiviti perniagaan dan peluang pekerjaan di KLIA Aeropolis berpotensi menyokong permintaan hartanah kediaman di kawasan sekitarnya dalam jangka panjang. – UTUSAN










