IPOH: Kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur melalui kemegahan pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya pada keupayaan memelihara martabat insan dan menyediakan peluang kedua kepada mereka yang ditimpa musibah.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kemajuan sebenar terletak pada kesungguhan melaksanakan program sosial bagi membela golongan lemah dan membantu mereka yang berdepan penyakit, kecederaan atau kehilangan upaya untuk kembali membina masa hadapan yang bermaruah.
Titah baginda, membantu meringankan beban mereka yang diuji dengan pelbagai dugaan hidup bukan sahaja merupakan tuntutan fardu kifayah, malah menjadi tanggungjawab keinsanan setiap anggota masyarakat.
“Dalam kehidupan seharian setiap insan berdepan pelbagai risiko dan detik sukar yang mampu mengubah perjalanan hidup.
“Ada yang mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau semasa bertugas sehingga mengakibatkan kecacatan atau kehilangan anggota, ada yang tiba-tiba mendapat serangan jantung dan strok atau mengalami kecederaan saraf serta tulang belakang yang menjejaskan pergerakan dan keupayaan mengurus diri.
“Setiap kemalangan, serangan penyakit atau kecederaan bukan sahaja mengubah kehidupan individu sekelip mata, malah memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga yang juga perlu berdepan dugaan baharu untuk meneruskan kehidupan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kini dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, pusat rehabilitasi tersebut bukan sekadar kompleks yang dilengkapi peralatan moden dan teknologi canggih, tetapi dihebatkan dengan tenaga pakar dalam bidang-bidang perubatan dan kesihatan.
Katanya, pusat itu menghimpunkan kepakaran dalam pelbagai disiplin termasuk fisioterapi, terapi pekerjaan dan vokasional, bimbingan sosial dan sokongan psikologi yang diadun dalam satu ekosistem yang bersepadu.
“Pusat ini bukan sekadar kemudahan kesihatan, tetapi melambangkan penghijrahan pemikiran bagi merealisasikan hasrat negara dalam memperkasakan perkhidmatan rehabilitasi berteknologi tinggi yang berteraskan nilai kemanusiaan dan keinsanan.
“Pusat ini harus dilihat sebagai satu simbol bahawa negara menghargai setiap nyawa, setiap pekerja dan setiap keluarga selain simbol bahawa musibah bukan noktah terakhir kepada kehidupan.
“Dengan sistem yang betul dan masyarakat yang peduli serta peluang yang disediakan, seseorang tidak perlu hidup atas ihsan bantuan orang lain tetapi boleh kembali membina masa hadapan yang bermaruah,” titah baginda. – UTUSAN










