MRSM lantik sepenuhnya warden bekas tentera 1 Januari 2027

MRSM lantik sepenuhnya warden bekas tentera 1 Januari 2027

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melaksanakan pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di semua 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara bermula 1 Januari 2027.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai langkah permulaan, inisiatif itu akan dilaksanakan di 10 MRSM bermula 1 Julai ini selepas proses pemilihan dan penyaringan calon diselesaikan sepanjang bulan ini.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan kejayaan projek rintis yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.

“Hasil kajian pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan projek rintis menempatkan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau telah berjaya meningkatkan tahap disiplin pelajar malah mencapai sifar kes buli,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima Laporan Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di kedua-dua MRSM berkenaan.

Laporan setebal 19 muka surat itu diserahkan oleh Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, antara dapatan utama kajian tersebut ialah warden daripada kalangan bekas tentera berkesan dalam mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama.

Katanya, inisiatif itu juga menerima maklum balas positif daripada pelajar, ibu bapa serta pihak pentadbiran MRSM.

“Moga usaha ini mampu meningkatkan lagi prestasi kecemerlangan MRSM dan sekali gus melahirkan generasi pelajar yang seimbang dan holistik dari segenap aspek,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN