MCA masuk bertanding bukan untuk kalah - Utusan Malaysia

MCA masuk bertanding bukan untuk kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas tidak ber­tanding semasa pilihan raya negeri (PRN) lalu, kali ini MCA Negeri Sembilan mahu kembali dengan tekad memenangi beberapa kerusi.

Pengerusi MCA negeri, Datuk Leaw Kok Chan berkata, parti itu akan meletakkan calon di 10 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) yang menjadi tradisi ditandingi mereka, sama seperti ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

LEAW KOK CHAN

Katanya, MCA yakin mampu menyumbang kerusi kepada Barisan Nasional (BN), walaupun menyedari bakal bertembung dengan DAP yang merupakan penyandang di 11 kerusi di ne­geri ini.

“Kami berharap ada peluang kali ini untuk MCA menang di mana-mana kerusi dan menyum­bang kepada kemena­ngan BN.

“Bagi saya, semua kerusi kami ada peluang untuk menang, kami tidak akan bertanding jika kami tiada keyakinan. Kami memang ada peluang, ada keyakinan, MCA tidak akan semata-mata bertan­ding untuk kalah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semasa PRU14, MCA tewas di kesemua 10 kerusi DUN yang ditandingi mereka iaitu DUN Chennah, Bahau, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Senawang, Lukut dan Chuah.

Bagaimanapun, parti itu membuat keputusan tidak meletakkan calon semasa PRN di enam negeri termasuk Negeri Sembilan pada 2023, dengan alasan mahu melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula selepas tewas teruk di kerusi Parlimen ketika PRU15, setahun sebelumnya.

Baru-baru ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan bertanding solo di kesemua 36 kerusi DUN semasa PRN Negeri Sembilan yang telah ditetapkan hari pengundiannya pada 1 Ogos ini.

Kok Chan berkata, senarai calon MCA telah diserahkan kepada pihak ibu pejabat parti sebelum keputusan muktamad dibuat kepemimpinan tertinggi BN.

“Perbincangan untuk agihan kerusi kami serahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk buat keputusan. Nama-nama bakal calon juga telah kami serahkan untuk tindakan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN