GEORGE TOWN: Malaysia sedang meneroka sumber bekalan minyak mentah baharu bagi memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, proses mengenal pasti sumber baharu sememangnya sedang berjalan, tetapi perlu mengambil kira ketersediaan fasiliti tempatan untuk memproses bekalan yang diperoleh.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini memberi jaminan bekalan minyak negara mencukupi sehingga penghujung Julai dan akan terus mengumumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa selepas rundingan bekalan dimuktamadkan.
“Seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) proses melihat sumber baharu itu memang berlaku dan antara wilayah yang kita sedang lihat untuk bekalan minyak mentah termasuk dari benua Afrika, Russia, Turkiye, Amerika Selatan, Amerika Syarikat (AS) serta Singapura (bagi bekalan minyak bertapis).
“Namun, ia turut bergantung kepada ketersediaan fasiliti kita untuk memproses bekalan berkenaan kerana setiap minyak mentah yang datang dari kawasan berbeza mempunyai karakter yang berbeza,” katanya selepas merasmikan Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) di Bayan Lepas, hari ini.
Menurut Akmal Nasrullah, pihak Petronas akan menilai kesesuaian bekalan yang diperoleh dengan keupayaan kemudahan sedia ada bagi memastikan proses penerimaan dan pemprosesan dapat dilaksanakan dengan lancar dan pengumuman jaminan bekalan sehingga Julai bukan bermakna negara berdepan masalah bekalan.
Sebaliknya, kata beliau, langkah itu diambil bagi memastikan kerajaan dapat berkongsi maklumat secara telus berdasarkan perjanjian bekalan yang telah dimuktamadkan.
“Bukan bermaksud sehingga Julai kita berada dalam keadaan sukar, tetapi apabila bekalan telah disahkan, kita akan beri jaminan. Hal ini demikian kerana, harga minyak ketika ini masih tidak menentu dan kita tidak mahu terikat dengan perjanjian yang terlalu panjang,” katanya.
Beliau berkata, syarikat pembekal termasuk Petronas akan terus mengemas kini status bekalan selepas setiap rundingan serta perjanjian dimeterai dan kerajaan dijangka memperoleh perkembangan baharu mengenai jaminan bekalan minyak bagi tempoh seterusnya menjelang penghujung bulan ini. – UTUSAN










