Malaysia kongsi model penguatkuasaan nafkah di pentas PUIC

Malaysia kongsi model penguatkuasaan nafkah di pentas PUIC

MOHD. Na'im Mokhtar bersama wakil Palestin, Khaled musmar (kanan) dan Dr Fauzi Samhouri ketika sidang PUIC Ke-20 di Baku, Azerbaijan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berkongsi pengalaman dan pendekatan negara dalam memperkukuh penguatkuasaan nafkah wanita serta kanak-kanak di peringkat antarabangsa sempena Persidangan Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (PUIC) Ke-20 di Baku, Azerbaijan, semalam.

Senator Dewan Negara, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Malaysia mengiktiraf nafkah sebagai tanggungjawab yang mengikat di bawah hukum syarak dan telah diperuntukkan menerusi Akta Undang-Undang Keluarga Islam serta enakmen-enakmen negeri.

Menurut beliau, Mahkamah Syariah di negara ini memainkan peranan aktif dalam menguatkuasakan perintah nafkah termasuk memastikan tunggakan dibayar mengikut kemampuan kewangan pihak yang bertanggungjawab.

“Malaysia turut melaksanakan pelbagai reformasi termasuk memperkenalkan modul e-Nafkah di bawah sistem e-Syariah bagi membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan secara digital.

“Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) pula menggunakan pelbagai mekanisme penguatkuasaan seperti potongan gaji, pembekuan akaun dan hukuman penjara terhadap individu yang gagal mematuhi perintah nafkah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam sesi Jawatankuasa Tetap Khas mengenai Hak Asasi Manusia, Wanita dan Hal Ehwal Keluarga semasa persidangan itu.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, lebih 9,600 kes berada dalam proses penguatkuasaan dengan pelbagai mekanisme termasuk kaedah hiwalah digunakan bagi membantu mendapatkan semula bayaran nafkah yang tertunggak.

Tambahnya, kerajaan juga sedang memperkasa Mahkamah Syariah melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi membolehkan simpanan bekas suami yang culas melaksanakan tanggungjawab nafkah disita mengikut peruntukan undang-undang.

Mohd Na’im berkata, komitmen Malaysia dalam memperkukuh hak wanita dan kanak-kanak turut dizahirkan menerusi pelaporan kepada badan antarabangsa termasuk Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) serta forum-forum OIC.

“Langkah-langkah ini membuktikan kesungguhan Malaysia dalam memastikan akses kepada keadilan dan remedi yang berkesan untuk wanita dan kanak-kanak, selaras dengan prinsip Islam serta sistem penguatkuasaan moden,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan usaha memastikan akses kepada keadilan dalam isu nafkah tidak boleh bergantung kepada keputusan mahkamah semata-mata, sebaliknya memerlukan undang-undang yang kukuh, pemantauan berterusan serta reformasi yang menyeluruh.

Katanya, Mahkamah Syariah perlu membuat keputusan secara adil dengan mengambil kira hak semua pihak dan kemampuan kewangan individu yang terlibat, manakala institusi Parlimen bertanggungjawab menyediakan kerangka perundangan yang menyokong pelaksanaan keputusan tersebut.

“Ahli-ahli Parlimen perlu menggubal mekanisme yang lebih berkesan, memperkukuh akauntabiliti institusi, menggerakkan penglibatan masyarakat sivil serta memperkenalkan reformasi bagi meningkatkan ketelusan dan mempercepat akses kepada keadilan.

“Melalui kuasa penggubalan undang-undang dan fungsi semak imbang, ahli-ahli Parlimen negara anggota PUIC mampu melindungi maruah wanita dan kanak-kanak, mempertahankan prinsip keadilan Islam serta memperkukuh institusi keluarga di dunia Islam,” katanya.

Beliau turut menggesa negara-negara anggota PUIC memperkukuh solidariti serantau dan antarabangsa dengan berkongsi amalan terbaik dalam penguatkuasaan nafkah agar mekanisme yang berkesan dapat disesuaikan mengikut sistem perundangan masing-masing.

Selain itu, beliau menyeru penggunaan diplomasi parlimen bagi melindungi hak wanita dan kanak-kanak sama ada dalam situasi konflik mahupun bukan konflik, di samping memperkukuh komitmen kemanusiaan berteraskan prinsip keadilan dan ihsan dalam Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN