KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, antara tujuh tokoh syariah dan kewangan Islam yang dilantik menganggotai Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkuat kuasa hari ini bagi tempoh tiga tahun.
Pelantikan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong bagi penggal 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029, bersama enam lagi tokoh yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang syariah, pasaran modal, kewangan, ekonomi dan perundangan.
Menurut kenyataan SC, Majlis Penasihat Syariah yang ditubuhkan pada 16 Mei 1996 merupakan badan berautoriti bagi menentukan pemakaian prinsip syariah dalam urusan dan transaksi Pasaran Modal Islam (ICM) mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993.
“Majlis itu turut diberi mandat memastikan pelaksanaan pasaran modal Islam mematuhi prinsip syariah, selain berperanan menasihati SC mengenai sebarang isu syariah berkaitan urus niaga ICM.
“Selain itu, SAC berfungsi sebagai pusat rujukan utama dalam semua perkara berkaitan pasaran modal Islam, termasuk mengeluarkan ketetapan syariah serta memberi nasihat kepada mana-mana pihak berhubung isu syariah yang timbul dalam urusan atau transaksi ICM,” katanya.
Selain Mohd. Na’im, enam lagi individu yang dilantik ialah Professor Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali; Perunding Syariah (Kewangan Islam), Datuk Dr. Ashraf Md. Hashim dan Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Turut menganggotai majlis itu ialah Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir; Timbalan Presiden Insitut Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF, Dr. Marjan Muhammad dan bekas penyelidik Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA), Burhanuddin Lukman.
Katanya, barisan ahli baharu itu dijangka terus memperkukuh pembangunan pasaran modal Islam negara menerusi panduan serta keputusan syariah yang berwibawa, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju kewangan Islam di peringkat global. – UTUSAN










