Malaysia perlu data iklim kukuh untuk yakinkan pelabur asing - SC

Malaysia perlu data iklim kukuh untuk yakinkan pelabur asing – SC

MOHAMMAD FAIZ MOHAMMAD AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan data berkaitan iklim yang lebih kukuh bagi membuktikan daya tahan negara kepada pelabur asing ketika risiko perubahan iklim semakin menjadi pertimbangan dalam keputusan pelaburan global.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, Malaysia secara umumnya dilihat sebagai negara yang berdaya tahan dan menduduki tempat kedua selepas Singapura dalam ASEAN berdasarkan penarafan antarabangsa.

“Bagaimanapun, lebih banyak data diperlukan bagi menyokong kedudukan berkenaan dan meyakinkan pelabur mengenai keupayaan Malaysia menghadapi risiko iklim.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam persaingan mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI), daya tahan iklim sesebuah negara akan menjadi faktor yang semakin penting.

“Kita perlu mengenal pasti data yang ingin dilihat oleh pemilik aset bagi meyakinkan mereka bahawa pelaburan di Malaysia adalah selamat,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan JC3 Journey to Zero 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata, ketersediaan data berkaitan iklim amat penting ketika syarikat berdepan jangkaan yang semakin tinggi untuk membuktikan keupayaan mereka menghadapi risiko iklim dan menyediakan pendedahan kemampanan yang boleh dipercayai.

Ujarnya, Katalog Data Iklim Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (JC3) kini merangkumi 186 item data unik, dengan keseluruhan ketersediaan data meningkat kepada 82 peratus pada 2025.

“Peningkatan ketersediaan data ini membantu penerapan dan pendedahan pelaporan kelestarian di Malaysia.

“Terdapat juga inisiatif lain yang diberi tumpuan oleh JC3, termasuk pembangunan kapasiti, penyediaan dokumen panduan serta penerapan Taksonomi ASEAN melalui Taksonomi Malaysia.

“Kami juga mengambil maklum mengenai tumpuan berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap peranan pelepasan yang dibiayai dalam ekonomi kita serta pemantauan daya tahan bank dan pelanggan mereka supaya mereka mampu menghadapi cabaran yang bakal mendatang,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, SC menyokong penubuhan Association of Sustainability Professionals (ASP) bagi memperkukuh kualiti dan kredibiliti pelaporan kemampanan di Malaysia.

Mohammad Faiz berkata, butiran lanjut mengenai persatuan berkenaan akan diumumkan tidak lama lagi, sambil menjelaskan bahawa kredibiliti pendedahan kemampanan turut bergantung kepada tenaga profesional berkemahiran yang mengawasi proses berkenaan.

“Penyata kewangan dengan pemeriksaan kesihatan berkala sesebuah syarikat, manakala pendedahan kemampanan memberikan gambaran mengenai tahap kesediaan perniagaan menghadapi risiko jangka panjang.

“Jika penyata kewangan dianggap sebagai ‘pemeriksaan kesihatan setiap suku tahun’ terhadap keadaan sesebuah syarikat, maka pendedahan kemampanan adalah ujian tekanan yang menunjukkan daya tahan dan kekukuhan syarikat pada masa depan,” katanya.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas SC untuk memperkukuh daya tahan korporat menerusi Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×