KUALA LUMPUR: Sebanyak 13,920 kes tunggakan nafkah membabitkan bekas isteri berjaya diselesaikan bagi tempoh 2020 hingga 2025 melalui pelbagai inisiatif penguatkuasaan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, pencapaian itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu kegagalan membayar nafkah yang dianggap sebagai pengabaian tanggungjawab dan menjejaskan kebajikan wanita serta anak-anak.
Katanya, penyelesaian berkenaan dikendalikan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) melalui perkhidmatan perundingan dan guaman syarie sama ada secara rundingan atau melalui proses perundangan.
“Pegawai BSK yang bertauliah sebagai peguam syarie boleh mewakili bekas isteri di Mahkamah Syariah melalui tindakan seperti saman penghutang penghakiman, tahanan pendapatan, komital, sita dan jual serta prosedur hiwalah iaitu sekatan akaun bank,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Jufitri Joha mengenai statistik jumlah bekas isteri yang mendapat manfaat daripada BSK antara 2020 hingga 2025 yang diwujudkan kerajaan bagi memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah dipatuhi dan dilaksanakan oleh bekas suami.
Marhamah berkata, sebanyak 166 kes berjaya diselesaikan melalui mekanisme terbaharu atau Perintah Hiwalah sejak ia diperkenalkan pada 2022 sehingga tahun lalu.
“Walaupun mekanisme tersebut berkesan, terdapat beberapa cabaran pelaksanaan termasuk kurangnya kerjasama penghutang (bekas suami) dalam memberikan maklumat majikan serta baki akaun bank yang tidak mencukupi untuk melunaskan tunggakan.
“Cabaran lain timbul apabila pihak majikan daripada sektor swasta atau bukan beragama Islam mendapat nasihat perundangan bahawa mereka tidak terikat dengan perintah Mahkamah Syariah,” katanya.
Selain tindakan perundangan, Marhamah berkata, kerajaan turut menyediakan khidmat Dana Pendahuluan dengan menyalurkan RM1.73 juta sehingga Disember tahun lalu bagi memastikan kebajikan bekas isteri dan anak-anak terpelihara sementara menunggu penyelesaian tunggakan.
“Inisiatif itu turut merangkumi perkhidmatan BSK Transit, yang disediakan sejak 2022 bagi menampung kos perjalanan, makan minum dan penginapan bekas isteri ketika menghadiri prosiding mahkamah berkaitan nafkah,” katanya.
Marhamah turut memuji usaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menyalurkan bantuan berjumlah RM62.73 juta melalui 10 skim bantuan kepada 7,683 ibu tunggal di wilayah berkenaan sepanjang 2025. – UTUSAN










