PETALING JAYA: Malaysia dan Jepun memeterai empat memorandum kerjasama (MoC) melibatkan sektor strategik termasuk keselamatan maritim, alam sekitar, pengurusan sisa pepejal serta kawal selia peranti perubatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemeteraian itu merupakan langkah penting dalam memperluaskan kerjasama sedia ada, namun penekanan perlu diberikan kepada aspek pelaksanaan.
Katanya, semua persetujuan yang dicapai perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Kita telah memeterai empat MoC yang telah diumumkan dan saya fikir sudah tiba masanya untuk memastikan kita melaksanakannya,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi di Tokyo hari ini.
Selain itu, kedua-dua negara turut bertukar dua surat hasrat (LOI) membabitkan kerjasama keselamatan dan peralihan tenaga, selain memperkukuh hubungan akademik menerusi kerjasama antara Universiti Tokyo dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Anwar merakamkan penghargaan terhadap sokongan Jepun dalam pelbagai isu serantau termasuk ketika Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN.
Katanya, kedua-dua pihak turut menyentuh perkembangan terkini di Myanmar serta usaha berterusan untuk menggalakkan negara itu kembali memainkan peranan yang lebih aktif dalam ASEAN.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Jepun dalam menyokong usaha tersebut susulan beberapa perkembangan positif yang sedang berlaku di Myanmar.
“Malah, Malaysia turut menyokong visi Jepun mengenai Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka sebagai antara pendekatan penting bagi menjamin kestabilan serta kemakmuran rantau ini,” katanya. – UTUSAN










