Malaysia gesa perjanjian damai AS-Iran dicapai dengan niat baik

Malaysia gesa perjanjian damai AS-Iran dicapai dengan niat baik

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya memeterai perjanjian perdamaian dengan niat baik tanpa berlengah dan menterjemahkan persefahaman dicapai kepada penyelesaian damai yang berkekalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengalu-alukan persefahaman yang dicapai antara kedua-dua iaitu AS dan Iran ke arah menamatkan permusuhan.

Katanya, persefahaman itu juga membawa kepada perjanjian persefahaman yang akan ditandatangani kedua-dua pihak dalam masa terdekat ini.

Beliau juga memuji usaha ‘orang tengah’ khususnya Pakistan dalam membawa kedua-dua pihak ke tahap yang dicapai ketika ini.

“Malaysia menggesa semua pihak supaya bertindak dengan niat baik, bergerak tanpa berlengah dan menterjemahkan persefahaman ini kepada satu penyelesaian damai yang berkekalan.

“Pada saat yang genting ini, semua pihak serta aktor luar mesti menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menggagalkan usaha diplomasi dan mencetuskan semula permusuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia bersedia untuk menyokong usaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan serta menyeru masyarakat antarabangsa agar mengekalkan momentum ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pembukaan semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa kini mesti dianggap sebagai perkara yang paling mendesak.

“Selat tersebut merupakan laluan kritikal bagi keselamatan tenaga global dan perdagangan antarabangsa. Gangguan yang berpanjangan tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, AS dan Iran dilaporkan mencapai perjanjian damai serta menamatkan operasi ketenteraan secara ‘serta-merta dan kekal’ di semua medan konflik termasuk Lubnan.

Perkembangan terbaharu itu secara langsung memberi isyarat berakhirnya perang yang berlarutan lebih tiga bulan di Asia Barat.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menerusi platform X memaklumkan perjanjian damai itu sudah dicapai dan majlis menandatangani perjanjian secara rasmi akan diadakan di Switzerland pada 18 Jun ini.

Presiden AS, Donald Trump, dalam satu kenyataan berkata, perjanjian dengan Republik Islam Iran kini sudah dimuktamadkan.

“Saya dengan ini memberi kebenaran penuh untuk pembukaan Selat Hormuz tanpa sebarang tol, dan pada masa sama mengarahkan sekatan laut Tentera Laut AS ditarik balik serta-merta. Kapal-kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir,” katanya.

Tidak lama kemudian, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi mengumumkan perjanjian baharu dengan AS itu menandakan ‘pengakhiran serta-merta’ perang antara kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN