Malaysia Digital 2030 dilancar, ubah negara kepada pengeluar teknologi

Malaysia Digital 2030 dilancar, ubah negara kepada pengeluar teknologi

ANWAR Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), sebelum menyempurnakan peluncuran Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030): Ke Arah Negara AI di Perdana Putra, Putrajaya. PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Digital 2030 (MD2030) iaitu rangka tindakan nasional bagi tempoh 2026-2030 yang menandakan peralihan drastik fokus negara daripada pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi tempatan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran MD2030 adalah bukti jelas Malaysia kini bersedia untuk beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada sebuah negara pengeluar inovasi digital yang disegani.

Menurutnya, sebagai kementerian peneraju agenda Ke Arah Negara AI 2030, pihaknya memikul tanggungjawab untuk mencapai sasaran ekonomi yang holistik dan memastikan transformasi itu dibina atas asas kepercayaan, keselamatan data dan tadbir urus yang utuh.

“Melalui pendekatan Whole-of-Government, kementerian akan memastikan gerak kerja agensi di bawah kementerian ini dilaksanakan secara bersepadu dan tuntas.

“Matlamat akhir untuk melampaui angka dan teknologi, ia adalah untuk membina masa depan di mana setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, mendapat manfaat secara adil dan saksama daripada limpahan ekonomi digital negara,” katanya pada majlis pelancaran itu.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut Gobind, MD2030 menggariskan sasaran nasional yang komprehensif menjelang 2030, merangkumi petunjuk ekonomi dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam yang holistik.

“Sasaran 30 peratus sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam ekonomi digital.

“Selain itu, penjimatan RM4.5 bilion bagi sektor awam hasil pendigitalan, dan 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara dalam talian dari hujung ke hujung,” katanya.

Tambahnya, MD2030 digerakkan melalui tujuh bidang utama iaitu kerajaan, ekonomi, infrastruktur, bakat, masyarakat, kepercayaan dan keselamatan serta inovasi dengan setiap teras diterajui kementerian berkaitan bagi memastikan pelaksanaan bersepadu.

Setiap teras itu akan diketuai oleh seorang Ketua Kluster, antaranya Teras Kerajaan diterajui oleh Shamsul Azri, manakala Teras Ekonomi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Teras Infrastruktur pula diketuai Fahmi, Teras Bakat (Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R.Ramanan); Teras Masyarakat (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri); Teras Kepercayaan dan Keselamatan (Gobind) dan Teras Inovasi pula oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.

Di bawah Teras Kerajaan, tumpuan diberikan kepada memperkenal dan mempertingkat penyampaian perkhidmatan awam melalui penubuhan GovTech Malaysia.

Teras Ekonomi memacu Malaysia sebagai hab inovasi dan perdagangan digital serantau melalui produk “Made by Malaysia”, adaptasi teknologi dalam Sektor Pertumbuhan dan Nilai Tinggi (HGHV), serta merealisasikan potensi data, aset digital dan Harta Intelek (IP).

Teras Infrastruktur pula memberi fokus kepada ketersambungan internet yang berkualiti di seluruh negara serta membangunkan infrastruktur digital masa hadapan yang mampan termasuk pusat data, pengkomputeran awan, dan bandar pintar.

Di bawah Teras Bakat, ia bertujuan memastikan tenaga kerja negara bersedia untuk ekonomi digital melalui kerangka dasar bakat yang menyeluruh, peralihan tenaga kerja yang tangkas,dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital serantau dan global.

Bagi Teras Masyarakat, kerajaan akan memastikan penglibatan inklusif semua rakyat dalam ekosistem digital melalui penginstitusian Indeks Keterangkuman Digital Malaysia, pemerkasaan komuniti luar bandar, dan penyelesaian digital berimpak sosial.

Di bawah Teras Kepercayaan dan Keselamatan, kerajaan akan mengimbangi antara keselamatan digital dan keperluan inovasi melalui pengoperasian Suruhanjaya Data Negara serta pembangunan Strategi Kepercayaan Digital Negara 2026 – 2030.

Teras Inovasi pula akan memperkukuh memperkukuh rantaian inovasi daripada peringkat penyelidikan hingga ke pengkomersialan melalui ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, inovasi dan ekonomi (R, D, C, I & E) yang mantap bagi menyokong peralihan negara menjadi pencipta teknologi digital.

Pelaksanaan MD2030 akan diselaraskan bersama agensi di bawahnya termasuk Pejabat AI Kebangsaan (NAIO); Jabatan Digital Negara atau GovTech Malaysia; Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); CyberSecurity Malaysia; MyDIGITAL Corporation dan Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR).

Sementara itu, keberhasilan MD2030 bakal membentuk acuan masa hadapan Malaysia yang berteraskan identiti dan ciri-ciri Negara AI yang progresif, di mana AI disepadukan dalam setiap aspek kehidupan; data menjadi aset strategik negara; sistem bersifat pintar dan autonomi, manakala rakyat pula berkembang maju bersama teknologi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN