PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan setiap kementerian dan agensi supaya mempercepat pelaksanaan agenda digital dan kecerdasan buatan (AI) negara agar digerakkan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan demi kepentingan rakyat.
Perdana Menteri berkata, ia termasuk persiapan pelancaran Malaysia Digital 2030 (MD2030) yang dijadual pada April sebagai pemacu utama pelaksanaan agenda itu ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030.
“Mesyuarat turut menekankan usaha memperhebat pendaftaran MyDigital ID, khususnya bagi aplikasi kerajaan, di samping mewajibkan integrasi sistem baharu serta penyepaduan sistem sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, bersepadu dan berteraskan keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 1/2026, hari ini.
Menurut Anwar, mesyuarat turut menerima pembentangan daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Digital berkaitan Government Innovation Initiative (GII) yang berpotensi memberi impak besar kepada penambahbaikan sistem kesihatan negara.
“Mesyuarat juga mengambil maklum input daripada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang menekankan pembangunan dasar AI berasaskan bakat tempatan merangkumi pelbagai sektor, selain memastikan peluang penyertaan yang inklusif kepada semua peringkat umur,” katanya. – UTUSAN










