Majlis Tahfiz Negara selaras hala tuju pendidikan tahfiz

Majlis Tahfiz Negara selaras hala tuju pendidikan tahfiz

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra dengan huffaz pada Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 di pekarangan Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penubuhan Majlis Tahfiz Negara sebagai platform utama memperkasa dan menyelaras hala tuju pendidikan tahfiz di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan majlis itu diluluskan dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas.

Beliau turut diberi amanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempengerusikannya.

“Ia adalah satu langkah besar dalam usaha memperkasa institusi tahfiz dan memastikan golongan huffaz mendapat pengiktirafan yang lebih luas dalam sistem pendidikan serta pembangunan negara.

“Saya mahu pendidikan tahfiz dilihat sebagai laluan yang luas. Mereka bukan sahaja perlu diraikan dalam majlis tetapi mesti diiktiraf dalam sistem. Saya mahu anak-anak tahfiz mampu bergerak daripada madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran dan daripada institusi tahfiz ke dunia profesional dengan keyakinan, kelayakan dan masa depan yang lebih terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 yang menghimpunkan lebih 5,000 huffaz di pekarangan Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang, di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahu memastikan masa depan lepasan tahfiz tidak lagi dibatasi oleh persepsi bahawa mereka hanya sesuai berkhidmat dalam institusi agama semata-mata.

Katanya, golongan huffaz mempunyai potensi besar untuk berjaya dalam pelbagai bidang profesional sekiranya diberikan ruang, peluang dan laluan yang sesuai.

“Impian saya terlalu besar untuk melihat huffaz di seluruh negara berjaya dalam urusan duniawi dan ukhrawi.

“Sebab itu kita mesti melipatgandakan usaha membuka lebih banyak ruang dan laluan agar masa depan anak-anak tahfiz tidak lagi dibayangi stigma bahawa mereka hanya terbatas kepada institusi agama, sebaliknya mampu mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, institusi tahfiz, universiti, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak industri perlu digerakkan secara bersama bagi menjayakan agenda tersebut.

Menurutnya, kerjasama pelbagai pihak menerusi Majlis Tahfiz Negara akan membuka lebih banyak peluang pendidikan, latihan kemahiran dan pekerjaan kepada lepasan tahfiz. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN