Dapat kunci: Bila masa sesuai urus geran strata?

Dapat kunci: Bila masa sesuai urus geran strata?

KEDIAMAN bertingkat tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUNCI rumah sudah di tangan, ansuran bulanan berjalan seperti biasa, tetapi urusan pemilikan belum tentu selesai sepenuhnya apabila nama pembeli masih belum didaftarkan pada geran strata.

Keadaan itu boleh menjadi ma­salah apabila pemilik mahu men­jual rumah atau membuat pem­biayaan semula, terutama jika urusan pindah milik yang ter­tangguh sejak awal pembelian semakin rumit untuk diselesaikan.

Peguam Hartanah Tetuan Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkata, pembeli tidak seharusnya menganggap penerimaan kunci rumah sebagai tanda semua urusan pemilikan telah selesai kerana hak milik strata mungkin masih belum didaftarkan atas nama mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, pembeli perlu mengambil tahu status hak milik strata sejak awal pembelian dan mendapatkan maklumat daripada pemaju sebaik sahaja menerima kunci rumah atau milikan kosong (VP).

“Perlu difahami bahawa pe­ne­rimaan kunci rumah tidak semestinya bermaksud hak milik strata telah dikeluarkan.

“Menerima kunci bermaksud kita boleh menduduki rumah tersebut, tetapi itu tidak semestinya bermaksud nama kita telah didaftarkan sebagai pemilik dalam geran strata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, bagi sesete­ngah pembangunan, hak milik strata sudah dikeluarkan ketika pembeli menerima kunci, manakala bagi pembangunan lain, proses berkenaan mungkin masih berjalan.

Katanya, sekiranya hak milik strata sudah dikeluarkan dan pembeli menerima notis untuk menyempurnakan pindah milik, mereka perlu segera melantik peguam dan memulakan proses dokumentasi.

Menurutnya, kelewatan menyempurnakan pindah milik boleh menimbulkan masalah sekiranya pemaju menghadapi masalah kewangan, digulung atau dibubarkan, sekali gus menyukarkan urusan mendapatkan tandatangan dan dokumen berkaitan.

“Keadaan itu juga boleh me­lambatkan proses penjualan semula atau pembiayaan semula, selain meningkatkan kos dan tempoh penyelesaian sekiranya timbul komplikasi.

“Jangan tunggu sehingga hendak menjual rumah, baru sibuk mencari geran strata. Pada waktu itu, masalah yang sepatutnya boleh diselesaikan lebih awal mungkin telah menjadi jauh lebih rumit,” katanya.

Nazri berkata, pembeli perlu memahami perbezaan antara hak milik strata yang sudah dikeluarkan dengan hak milik yang sudah didaftarkan atas nama mereka.

Katanya, bagi mendaftarkan nama pembeli sebagai pemilik, proses Perfection of Transfer (POT) perlu disempurnakan, manakala pembelian yang melibatkan pembiayaan bank lazimnya turut memerlukan Perfection of Charge (POC) bagi mendaftarkan gadaian kepada bank.

“Pembeli disarankan menghubungi peguam dan memulakan dokumentasi sebaik sahaja menerima notis, sebaik-baiknya dalam tempoh 30 hari.

“Seksyen 40A Akta Hakmilik Strata 1985 memperuntukkan tempoh 12 bulan bagi penyempurnaan dokumen pindah milik oleh pembeli, tertakluk kepada keadaan dan pelanjutan yang dibenarkan. Kegagalan mematuhi peruntukan berkenaan boleh membawa implikasi undang-undang, termasuk denda jika disabitkan kesalahan.

“Pembeli tidak sepatutnya menganggap tempoh 12 bulan itu sebagai alasan untuk menangguhkan urusan sehingga saat akhir kerana proses pindah milik melibatkan beberapa pihak termasuk pemaju, peguam, bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pejabat tanah,” ujarnya.

Mengulas mengenai kos, Nazri berkata, jumlah yang perlu ditanggung pembeli bergantung kepada beberapa faktor termasuk harga pembelian hartanah, jenis pembiayaan, firma guaman yang mengendalikan urusan dan status pembayaran duti setem terdahulu.

Secara umumnya, beliau berkata, kos berkenaan merangkumi fi guaman bagi POT, fi guaman bagi POC jika hartanah mempunyai pembiayaan bank, duti setem yang berkenaan, fi pendaftaran pejabat tanah serta perbelanjaan lain.

Beliau berkata, berdasarkan Solicitors’ Remuneration Order 2023, fi guaman bagi kerja penyempurnaan pindah milik atau gadaian yang dilakukan kemudian tertakluk kepada skala fi tertentu.

“Jika peguam yang sama mengendalikan transaksi asal sebelum hak milik dikeluarkan, fi bagi kerja penyempurnaan berikutnya secara amnya tidak melebihi 25 peratus daripada fi skala berkaitan.

“Bagaimanapun, jika pembeli melantik firma guaman lain, hadnya secara amnya ialah 50 peratus, tertakluk kepada fi minimum dan peruntukan yang terpakai.

“Sehubungan itu, pembeli disaran mendapatkan sebut harga terperinci daripada peguam bagi memahami pecahan fi guaman, duti setem, fi pendaftaran dan perbelanjaan lain,” jelasnya.

Beliau berkata, pembeli juga perlu menyemak sama ada duti setem pindah milik sudah dibayar, layak mendapat pengecualian atau masih perlu dijelaskan kerana tidak semua pembeli perlu membayar duti setem penuh sekali lagi ketika proses POT.

Tambahnya, pembeli pada prinsipnya tidak semestinya wajib menggunakan firma guaman yang dicadangkan atau dilantik oleh pemaju untuk menyempurnakan pindah milik hak milik strata.

“Menggunakan peguam yang mengendalikan pembelian asal berpotensi memudahkan urusan kerana firma itu sudah mempunyai rekod transaksi, dokumen perjanjian jual beli dan maklumat pembiayaan” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini