PEMILIK rumah strata perlu memastikan pindah milik geran strata disempurnakan lebih awal bagi mengelakkan proses jual beli menjadi rumit di masa hadapan, terutama jika pemilik meninggal dunia sebelum hak milik didaftarkan atas nama sendiri.
Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn. Bhd., PMgr Sr Ishak Ismail berkata, tanpa pendaftaran hak milik atas nama pemilik boleh menyebabkan proses penjualan mengambil masa lebih lama kerana pindah milik perlu dilakukan daripada pemaju kepada pemilik asal sebelum dipindahkan kepada pembeli baharu.
Beliau berkata, keadaan itu boleh menyebabkan urusan menjadi lebih rumit apabila pembeli memerlukan pembiayaan bank kerana geran strata perlu digunakan sebagai cagaran kepada pihak bank.
“Geran strata sangat penting. Apabila geran strata telah dikeluarkan dan anda berhasrat untuk menjual rumah tersebut, proses itu akan menjadi sukar jika anda belum didaftarkan sebagai pemilik dalam geran strata berkenaan.
“Pembeli yang ingin membeli rumah itu perlu menunggu lebih lama kerana pendaftaran akan dibuat melalui pindah milik berganda iaitu pindah milik pertama daripada pemaju kepada anda dan kemudian pindah milik kedua daripada nama anda kepada nama pembeli baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, proses pindah milik secara terus boleh dilakukan sekiranya kelulusan diperoleh, namun jika urusan itu tidak dapat disempurnakan, transaksi jual beli berisiko mengambil masa lebih panjang.
Ishak berkata, pemilik juga tidak sepatutnya menangguhkan urusan pindah milik kerana keadaan boleh menjadi lebih rumit sekiranya mereka meninggal dunia sebelum geran strata didaftarkan atas nama sendiri.
Katanya, dalam keadaan itu, waris perlu mendapatkan hak sebagai pentadbir terlebih dahulu dan mengemukakan bukti perjanjian jual beli bagi mengesahkan pemilikan benefisial terhadap hartanah berkenaan.
“Selepas bahagian itu selesai, barulah proses untuk mengeluarkan geran strata berlaku. Persoalannya, bagaimana geran strata itu hendak didaftarkan atas nama anda sedangkan anda telah meninggal dunia? Siapa yang hendak menandatangani dokumen tersebut?
“Semua itu akan menimbulkan kesukaran kerana waris mungkin memerlukan perintah mahkamah. Apabila perintah mahkamah mengambil masa, proses itu tentunya akan menjadi lebih rumit,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik supaya memastikan nama mereka didaftarkan pada geran strata sebaik sahaja hak milik berkenaan dikeluarkan bagi mengelakkan komplikasi pada masa depan.
Selain urusan jual semula, Ishak berkata, pemilik yang melengahkan pindah milik juga berdepan risiko sekiranya pemaju mengalami masalah kewangan, gulung tikar atau dibubarkan, kerana urusan mendapatkan tandatangan dan dokumen berkaitan boleh menjadi lebih sukar.
Beliau berkata, kelewatan itu turut mendedahkan geran kepada kemungkinan pemalsuan dokumen, selain berpotensi menjejaskan hak pemilik untuk dipilih sebagai ahli jawatankuasa atau menghadiri mesyuarat agung bagi melaksanakan hak mereka sebagai pemilik strata.
“Pembeli perlu memberi perhatian kepada status geran sebaik menerima kunci rumah dan membuat semakan dengan pemaju untuk memastikan proses pindah milik dapat disempurnakan.
“Geran strata yang telah dikeluarkan tidak semestinya bermakna nama pembeli sudah didaftarkan sebagai pemilik kerana hak milik pada peringkat awal lazimnya masih atas nama pemaju,” ujarnya.
Beliau berkata, sebelum pindaan Akta Hakmilik Strata pada 2013 dan pelaksanaan Akta Pengurusan Strata 2013, antara punca kelewatan pengeluaran geran ialah geran induk masih berada dengan pihak bank kerana hutang belum diselesaikan.
Tambahnya, projek terbengkalai dan kekurangan aliran tunai pemaju turut menyebabkan peruntukan untuk membayar kos juruukur serta kos lain tidak mencukupi.
“Masalah juga timbul bagi projek lama apabila hartanah telah melalui beberapa urusan jual beli sehingga menyukarkan pengenalpastian pembeli terakhir untuk menyempurnakan pindah milik secara berlapis,” jelasnya.
Justeru, beliau berkata, pemilik perlu memastikan status hak milik strata diketahui dan urusan pindah milik diselesaikan lebih awal, bukannya hanya mengambil tindakan apabila mahu menjual hartanah. – UTUSAN








