KUALA LUMPUR: Tawaran jawatan tetap, elaun bulanan pos basik jururawat dinaikkan daripada RM100 kepada RM200, penambahbaikan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pemberian insentif dan elaun mengikut kelayakan.
Itu antara inisiatif diambil Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meningkatkan kebajikan jururawat seterusnya mengatasi penghijrahan mereka ke luar negara hingga boleh menjejaskan sektor kesihatan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian memberi tumpuan kepada dua pendekatan utama.
Pendekatan itu adalah mempercepat pengambilan jururawat baharu dan memperkukuh pengekalan jururawat sedia ada.
Selain itu, katanya, KKM mengekalkan waktu bekerja selama 42 jam seminggu bagi jururawat yang bertugas secara syif.
Selain itu katanya, kementerian turut memperluas peluang latihan dan kenaikan pangkat bagi meningkatkan prospek kerjaya jururawat dalam perkhidmatan awam.
“Keutamaan KKM adalah untuk memastikan perkhidmatan kejururawatan awam kekal kompetitif, kebajikan mereka terpelihara dan prospek kerjaya mereka terus dibangunkan serta diperkasakan,” katanya selepas melancarkan Pelan Hala Tuju
Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026-2030 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, semalam.
Dzulkefly berkata, fleksibiliti penempatan juga ditambah baik menerusi kemudahan pertukaran secara suka sama suka, yang membolehkan jururawat memohon pertukaran berdasarkan persetujuan bersama.
“KKM turut berusaha mempercepat proses pengambilan bagi mengisi kekosongan jawatan, selain memastikan kebajikan dan prospek kerjaya jururawat terus diberi perhatian bagi mengekalkan tenaga kerja dalam sektor kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, KKM akan mempercepat proses penyerapan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap, dengan 3,545 pegawai masih berkhidmat secara kontrak setakat Julai lalu.
Kata beliau, seramai 115 pegawai farmasi lagi berada dalam senarai simpanan atau menunggu pelantikan tetap.
“Ini masih lagi dalam proses dan saya sendiri mahu meletakkan satu komitmen untuk mempercepatkan proses penyerapan mereka dalam perkhidmatan tetap,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jumlah pegawai farmasi yang bakal dilantik atau tempoh pelaksanaan proses berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly mengesahkan semua jururawat dalam perkhidmatan kesihatan awam kini ditawarkan jawatan tetap dan tiada lagi yang berkhidmat secara kontrak.
Beliau berkata, sasaran penyerapan 9,000 pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap sebelum akhir 2027 pula hanya melibatkan doktor dan tidak termasuk pegawai farmasi atau jururawat.
Menurutnya, KKM masih memperincikan mekanisme pelaksanaan sasaran itu, termasuk pembahagian kumpulan pegawai perubatan yang akan diserap.
Sasaran berkenaan meningkat dua kali ganda berbanding sasaran terdahulu untuk menyerap purata 4,500 pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap. – UTUSAN











