Syahbandar yang menjadi Perdana Menteri

Syahbandar yang menjadi Perdana Menteri

TUN Abdul Razak Hussein. - GAMBAR YAYASAN TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, saya menghadiri tayangan dokumentari Man Who Walked the Talk: The Tun Razak Story. Ketika menyaksikan perjalanan hidup beliau, sesuatu terlintas dalam fikiran saya.

Saya kembali teringat kepada Hukum Kanun Pahang, manuskrip yang telah saya luangkan begitu banyak masa untuk mengkajinya, serta tanggungjawab syahbandar dalam sistem pemerintahan yang dihuraikan di dalamnya.

Saya mula melihat kehidupan Tun Razak dari sudut yang berbeza: Tradisi khidmat yang menjadi latar kehidupan beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam satu temu bual selepas tayangan itu, saya berkata, “Ia sudah sebati dalam darah mereka, dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.”

Yang saya maksudkan ialah kefahaman tentang tanggungjawab yang dapat dipupuk dalam sesebuah keluarga turun-temurun.

Seorang anak memerhatikan bagaimana bapanya berkhidmat, mendengar perkara yang dibincangkan di sekelilingnya dan secara beransur-ansur memahami tuntutan sesuatu jawatan awam.

Kita memahami hal ini dalam keluarga diraja. Seorang putera mempelajari selok-belok pemerintahan dengan memerhatikan ayahandanya, jauh sebelum tiba masanya untuk beliau sendiri memikul tanggungjawab itu.

Ketika menonton dokumentari tersebut, saya menyedari bahawa didikan yang serupa juga berlangsung dalam keluarga seorang syahbandar.

Tun Abdul Razak sendiri ialah Orang Kaya Indera Shahbandar yang ke-10.

Syahbandar itu telah menjadi Perdana Menteri.

Kesedaran itu amat menyentuh hati saya. Seorang anak Pahang telah membawa didikan, pengalaman dan kefahamannya tentang tanggungjawab untuk berkhidmat kepada seluruh negara.

Di Pahang, Orang Besar Berempat terdiri daripada Orang Kaya Indera Perba Jelai, Orang Kaya Indera Shahbandar, Orang Kaya Indera Pahlawan dan Orang Kaya Indera Segara. Setiap seorang memikul tanggungjawab dalam pentadbiran negeri, dengan kawasan pegangan masing-masing di bawah kuasanya.

Mereka membantu pemerintah dalam urusan pemerintahan: Memberikan nasihat, mengendalikan pentadbiran dan menjalankan kuasa yang diamanahkan kepada mereka.

Dalam istilah masa kini, sebahagian tugas mereka boleh dibandingkan dengan tanggungjawab para menteri. Namun, jawatan mereka tergolong dalam susunan politik yang berbeza dan tidak berkaitan dengan pewarisan takhta.

Daripada empat gelaran yang kita kenali di Pahang hari ini, gelaran syahbandarlah yang saya temui dalam kajian saya terhadap Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang.

Perkara itu kembali terlintas dalam fikiran saya ketika menyaksikan tayangan tersebut. Syahbandar sudah pun merupakan pegawai penting dalam sistem pemerintahan yang dihuraikan oleh teks undang-undang itu. Berabad-abad kemudian, seorang yang menyandang gelaran tersebut memimpin Malaysia.

Jawatan pada zaman terdahulu dan gelaran turun-temurun di Pahang pada zaman kemudian perlu difahami dalam konteks sejarah masing-masing. Namun, perkaitan itu mengajak kita meneliti dengan lebih dekat tradisi pemerintahan yang menjadi latar kehidupan Tun Razak.

Ada satu perbezaan penting yang perlu dijelaskan. Orang Kaya Indera Shahbandar menyandang jawatan atas pelantikan diraja oleh Sultan Pahang. Walaupun gelaran itu kekal dalam keluarga yang sama merentas generasi, gelaran tersebut tidak diwarisi secara automatik daripada bapa kepada anak.

Syahbandar secara tradisinya bekerjasama rapat dengan Sultan Pahang, memberikan nasihat dan membantu dalam urusan negeri. Dari satu generasi ke generasi yang berikutnya, hubungan ini membawa tanggungjawab yang berterusan: Membantu pemerintah berkhidmat kepada Pahang dan rakyatnya.

Tun Razak ialah penyandang yang ke-10. Anak beliau, Najib, menjadi penyandang yang ke-11, manakala cucunya, Nizar, yang ke-12.

Sultan melantik penyandang jawatan. Keluarga pula dapat membantu mempersiapkan beliau untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Persediaan itulah yang menarik perhatian saya.

Seorang anak yang membesar dalam keluarga sedemikian dapat memerhatikan bagaimana bapanya memberikan nasihat kepada pemerintah, menerima mereka yang memohon bantuan dan menguruskan hal ehwal negeri.

Beliau dapat belajar cara mendengar, menimbang pelbagai kepentingan dan memikul harapan yang dikaitkan dengan kedudukan keluarganya.

Sebagaimana seorang putera dapat mempelajari selok-belok pemerintahan daripada ayahandanya, seorang bakal syahbandar juga dapat mempelajari tanggungjawab mentadbir dan berkhidmat daripada bapanya.

Inilah suatu warisan yang tidak dapat dicatat sepenuhnya dalam salasilah keluarga. Salasilah merekodkan nama, pertalian dan susur galur penyandang gelaran. Ilmu yang disampaikan melalui teladan dalam kehidupan seharian lebih sukar dijejaki, tetapi tetap wajar diberikan perhatian.

Sejarah keluarga ini di Pahang bermula sejak tahun 1722, dengan leluhur yang datang dari Sulawesi.

Penghijrahan itu turut membawa ilmu dan kemahiran pertukangan, termasuk tradisi menenun yang dikaitkan dengan Tenun Pahang.

Persamaan antara tekstil Pahang dengan Sulawesi menjadi bukti hubungan sejarah budaya yang dikongsi bersama.

Bagi saya, hubungan ini mempunyai makna yang istimewa. Usaha saya dalam Tenun Pahang telah mengajar saya bagaimana ilmu terus hidup melalui manusia: Melalui tangan yang menunjukkan caranya, mata yang memerhati dan generasi muda yang sudi belajar.

Kajian saya terhadap Hukum Kanun Pahang pula membawa saya kepada satu lagi bentuk ilmu, iaitu kefahaman tentang kuasa, tanggungjawab dan susunan pemerintahan sesebuah negeri.

Ketika tayangan itu, kedua-dua bidang yang saya usahakan ini bertemu dengan cara yang tidak saya jangkakan. Saya mula memikirkan warisan yang dibawa oleh sesebuah keluarga merentas generasi, sama ada dalam kemahiran pertukangan atau khidmat awam, serta bagaimana warisan itu dapat diterapkan dalam bentuk yang baharu.

Tun Razak menggantikan bapanya sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar pada tahun 1950. Beliau menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1952 dan Menteri Besar pada tahun 1955. Perjalanan kerjayanya kemudian membawa beliau ke jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Malaysia.

Lingkungan tanggungjawabnya semakin luas, daripada urusan Pahang kepada urusan sebuah negara.

Apabila saya mengatakan bahawa beliau membawa Pahang ke Malaysia, yang saya maksudkan ialah beliau membawa sebahagian daripada didikan dan pengalaman yang membentuk dirinya di Pahang ke dalam khidmat kepada negara. Akar asalnya tetap menjadi sebahagian daripada dirinya ketika beliau memikul tanggungjawab yang jauh melangkaui negeri kelahirannya.

Namun, setiap pelantikan tetap menuntut kebolehan, pertimbangan dan komitmen beliau sendiri. Didikan dapat mempersiapkan dirinya; tugas itu tetap perlu dilaksanakan oleh beliau.

Itulah sebabnya judul dokumentari tersebut begitu tepat. Man Who Walked the Talk mengajak kita melihat tindakan yang membuktikan bagaimana beliau menunaikan tanggungjawabnya.

Ketika menontonnya, saya melihat pencapaian beliau dan turut memikirkan bagaimana dirinya dibentuk. Apakah yang telah beliau pelajari daripada generasi terdahulu? Apakah kefahaman tentang khidmat yang diserapnya dalam keluarga tempat beliau dibesarkan? Bagaimanakah pengalaman itu mungkin membentuk pendekatannya terhadap pemerintahan?

Soalan-soalan ini wajar diterokai seiring dengan catatan yang kita kenali tentang pendidikan dan kerjaya politik beliau.

Bagi saya, Hukum Kanun Pahang telah memperjelas peranan jawatan dalam pemerintahan kita pada zaman dahulu. Di sebalik setiap gelaran, ada seorang insan yang diamanahkan dengan tanggungjawab. Di belakang insan itu pula mungkin tersimpan pengalaman beberapa generasi, yang diingati dan diajarkan dalam keluarganya.

Saya pergi untuk menonton sebuah dokumentari tentang Tun Razak. Saya pulang dengan renungan tentang pewarisan suatu kemahiran: Selok-belok pemerintahan yang dipelajari melalui teladan dan dibuktikan melalui khidmat.
Syahbandar itu telah menjadi Perdana Menteri.

Dan suatu tradisi tanggungjawab yang berakar di Pahang telah menemukan medan khidmat yang lebih luas di Malaysia.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Tun Abdul Razak dan mengurniakan ganjaran atas segala kebaikan yang beliau lakukan untuk rakyat.

Al-Fatihah. – UTUSAN

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pemegang ijazah sarjana daripada Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan kini merupakan calon ijazah doktor falsafah (PhD) di ISTAC-UIAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini