Mahfuz dakwa Pas tinggalkan Bersatu demi survival politik

Mahfuz dakwa Pas tinggalkan Bersatu demi survival politik

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keputusan Pas menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan politik parti itu bukan berpaksikan prinsip konsisten sebaliknya demi percaturan kuasa semata-mata.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mendakwa, rakyat selama ini dimomokkan bahawa Perikatan Nasional (PN) merupakan platform penyatuan ummah demi Islam dan Melayu.

“Namun, hari ini Pas sendiri meninggalkan rakan yang mereka angkat sebagai penyelamat ummah sebelum ini. Jika PN benar-benar perjuangan ummah, mengapa Pas sendiri memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Ini menunjukkan slogan agama yang dimainkan selama ini hanyalah alat politik sementara. Pas tidak tinggalkan Bersatu kerana prinsip tetapi kerana survival politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz turut mempersoalkan pendirian Pas yang tidak mengumumkan secara jelas kedudukan parti itu dalam PN, sebaliknya kembali menggunakan istilah seperti ‘penyatuan ummah’ dan ‘electoral pact’ yang pernah dikaitkan dengan kerjasama Muafakat Nasional.

Katanya, perkembangan itu memberi gambaran bahawa Pas sedang membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama politik baharu dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, sekiranya kerjasama sedemikian menjadi kenyataan, UMNO perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai hala tuju politik yang ingin dibentuk serta implikasinya terhadap landskap politik negara.

“Adakah UMNO bersedia merelakan politik garis keras agama berkembang semula demi kepentingan kuasa, kerana realitinya Pas selama ini membina politik melalui sentimen agama, budaya melabel lawan, politik kebencian serta naratif ketakutan terhadap kaum dan pihak yang berbeza pandangan.

“Pada masa sama, dalam UMNO sendiri wujud kelompok yang gemar memainkan sentimen kaum secara sempit. Gabungan politik seperti ini sangat bahaya kepada masa depan negara,” katanya.

Dalam masa sama, Mahfuz berkata, negara memerlukan politik yang menyelesaikan masalah rakyat, mengukuhkan perpaduan, membina ekonomi masa depan dan membawa kestabilan serta keyakinan.

“Rakyat mahu masa depan negara dibina dengan idea dan dasar, bukan dengan ketakutan kaum dan agama. Bukannya politik yang menukar musuh dan kawan setiap kali musim pilihan raya tiba. 

“Bila gagal membawa penyelesaian ekonomi dan pentadbiran, maka dimainkanlah isu kaum, agama, liberal, DAP dan pelbagai momokan lain. Jadi rakyat perlu sedar negara tidak akan maju jika politik terus dibina atas rasa takut dan kebencian,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN