GUA MUSANG: Penderitaan penduduk di daerah ini yang berdepan masalah bekalan air sejak hampir 20 tahun lalu, berakhir selepas Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak bernilai RM70.76 juta beroperasi sepenuhnya hujung April lalu.
Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa berkata, loji berkapasiti 10 juta liter sehari itu kini membekalkan air terawat ke kawasan utama termasuk Bandar Utama, Bandar Lama, Taman Wangsa Mewangi serta beberapa kampung sekitar.
Katanya, pelaksanaan projek itu turut meningkatkan rizab margin bekalan air kepada sekurang-kurangnya lima peratus berbanding sifar sebelum ini, sekali gus menstabilkan tekanan dan agihan bekalan di kawasan terlibat.
“LRA Bukit Chupak dilengkapi teknologi moden seperti sistem pintu limpah rendah fleksibel yang mampu meningkatkan paras air sungai sehingga 0.75 meter bagi memastikan sumber air mentah mencukupi terutama ketika musim kemarau.
“Selain itu, penggunaan sistem automasi Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA) membolehkan pemantauan dan kawalan operasi dilakukan secara berpusat, sekali gus meningkatkan kecekapan dan menjamin kualiti bekalan air,” katanya selepas Majlis Perasmian LRA Bukit Chupak yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di sini, hari ini.
Jaseni berkata, sebelum ini beberapa kawasan di Gua Musang berdepan tekanan air rendah, gangguan bekalan berulang serta kebergantungan kepada sumber alternatif terutama ketika musim kemarau.
Katanya, dengan siap sepenuhnya pada 28 April lalu, loji ini membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk yang sekian lama menanggung kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.
“PAAB akan terus komited melaksanakan projek pembangunan air lain di Kelantan bagi memastikan jaminan bekalan air jangka panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Nassuruddin berkata, kerajaan negeri menghargai komitmen PAAB dalam melaksanakan Projek Siap Program Non-Revenue Water (NRW) Nasional dan program penggantian paip yang melibatkan pelaburan berjumlah RM75 juta.
Katanya, projek-projek itu bukan sahaja membantu mengurangkan kehilangan air terawat, malah meningkatkan kecekapan sistem bekalan air secara keseluruhan.
Ujarnya, antara projek dalam perancangan adalah kerja membaik pulih struktur loji rawatan air di beberapa lokasi seperti LRA Manek Urai, Stong dan Pahi di Kuala Krai, LRA Gemang serta Kuala Balah di Jeli, serta LRA Paloh dan Chiku di Gua Musang.
“Selain itu, projek dalam pembinaan melibatkan kos RM79.9 juta yang dijangka siap pada 2027 termasuk kerja penggantian paip sepanjang 80.5 kilometer di Kota Bharu serta sistem retikulasi paip di Pasir Puteh dan Kota Bharu Utara,” katanya.
Beliau turut menyasarkan menjelang 2030, krisis bekalan air berulang dapat diatasi sepenuhnya dan rakyat menikmati bekalan air yang lebih stabil, bersih serta berkualiti. – UTUSAN










