HULU TERENGGANU: “Duyang Basaung palaing sedak, isai lemok manaih (Durian Basung paling sedap, isi lemak manis.”
Itu ungkapan peniaga durian Basung, Gayah Ismail, 80, yang menggambarkan keistimewaan durian kampung itu hingga menjadi buruan penggemarnya setiap kali musim raja buah tiba.
Keunikan rasa dan keaslian durian Basung menyebabkan gerai sepanjang jalan Kampung Basung, di sini kembali meriah dengan kehadiran pelanggan dari dalam dan luar daerah yang ingin menikmati durian kampung yang menjadi kebanggaan penduduk setempat.
Terkenal dengan rasa lemak manis, durian Basung terus mendapat tempat di hati penggemarnya walaupun pelbagai jenis durian premium berada di pasaran.
Gayah memiliki lebih 40 pokok durian di kebunnya di Kampung Basung berkata, musim durian tahun ini antara yang terbaik apabila memperoleh hasil memberangsangkan.
“Rasa durian Basung ini ada banyak. Ada yang lemak manis, ada sedikit pahit dan ada juga yang bergas. Isinya pula berbeza-beza, ada yang sedikit cair dan ada yang tidak terlalu lembik.
“Durian Basung memang digemari ramai kerana ia adalah durian kampung asli. Soal sedap itu bergantung kepada cita rasa masing-masing. Durian yang gugur terus dijual dan selalunya tidak sempat disimpan kerana laris,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Gayah berkata, walaupun lambakan durian premium seperti Musang King dan durian hibrid mendapat tempat, durian kampung tetap mempunyai penggemar tersendiri.
“Kira-kira 20 tahun lalu pernah diadakan pertandingan mencari durian paling sedap dan durian Basung menjadi pilihan ramai apabila menduduki tempat pertama. Bagi penggemar durian kampung, mereka sanggup datang dari jauh untuk membeli durian Basung,” katanya.
Durian Basung dijual secara setompok pada harga RM50 dengan setiap tompok mengandungi antara empat hingga lima biji bergantung kepada saiz buah.
Seorang lagi peniaga, Naimah Mamat, 56, bersyukur apabila pokok durian di Kampung Basung mengeluarkan banyak hasil kali ini.
Dia yang menjual durian kampung sejak minggu lalu berharap hasil jualan itu dapat menambah pendapatan keluarga.
“Alhamdulillah, musim kali ini menjadi dan ramai pelanggan datang mencari durian Basung,” katanya. – UTUSAN










