KUALA LUMPUR: Dana berjumlah RM464,400 diperuntukkan untuk 605 anak warga Kementerian Pertahanan (Mindef) merangkumi program bantuan pendidikan dan insentif kecemerlangan akademik bagi tahun ini.
Daripada jumlah itu, RM166,000 diperuntukkan kepada 159 penerima melalui bantuan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) dan universiti luar negara.
Selain itu, RM298,400 disalurkan kepada 446 pelajar cemerlang melalui Insentif Akademik Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 sebagai pengiktirafan khas serta suntikan motivasi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun tanggungjawab kementerian memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara, kesejahteraan anggota dan keluarga turut diberi perhatian.
Beliau berkata, salah satu elemen penting kesejahteraan adalah pendidikan anak-anak kerana ia memberi semangat kepada anggota yang bertugas apabila masa depan anak-anak terjamin.
Katanya, pendidikan menjadi kunci utama dalam meningkatkan taraf hidup serta martabat keluarga ATM melalui kejayaan anak-anak dalam bidang pendidikan.
“Apabila kita memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak, ia juga merupakan tanda penghargaan kepada anggota tentera atas kesetiaan dan pengorbanan mereka kepada negara.
“Kecemerlangan pendidikan anak-anak ini adalah hadiah terbaik kepada ibu bapa yang merupakan anggota ATM dan anugerah kecemerlangan ini adalah antara cara kita merakamkan penghargaan kepada mereka,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM 2026 di Wisma Perwira di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyelaras inisiatif pendidikan, program intervensi akademik serta menyediakan struktur sokongan pembangunan kerjaya bagi kecemerlangan masa depan anak-anak warga kerja Mindef dan ATM.
Katanya, kejayaan cemerlang penerima AKP 2026 turut didorong oleh keberkesanan program intervensi bersasar yang digerakkan secara berkala termasuk Program e-Perkasa SPM dan Program Sentuhan Elit SPM yang terbukti meningkatkan kompetensi intelek serta pencapaian akademik pelajar secara sistematik dan berfokus.
“Pelaksanaan agenda pendidikan berskala besar ini selaras dengan Fokus Keenam Kementerian Pertahanan Tahun 2026 yang meletakkan kebajikan dan pemerkasaan sosioekonomi warga pertahanan sebagai teras utama.
“Melalui pengupayaan ekosistem pendidikan inklusif, Mindef bertekad membuka ruang mobiliti sosial yang lebih luas bagi generasi muda komuniti pertahanan,” katanya. – UTUSAN










